Artikel dipetik daripada buku Positif untuk Berjaya oleh Dato' Dr. Mohd Fadlizah Kamsah, Ahmad Zabidi Abdul Razak dan Nur Hanani Hussin.
Jika engkau bersabar,
takdir itu berlaku juga ke atas dirimu,
tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala.
Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu,
dan engkau berdosa.
Perkataan sabar ini terlalu banyak diulang-ulang di dalam Quran dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara ayat-ayat yang menyarankan supaya bersabar dalam menempuh segala halangan, cabaran dan ujian adalah:
1. Penjelasan Tuhan di dalam surah al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan sembahyang, sesungguhnya Tuhan bersama-sama dengan orang-orang yang sabar."
2. Tuhan menjelaskan lagi di dalam surah al-Zumar ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya Tuhan mengganjari mereka yang bersabar dengan ganjaran yang banyak dan tidak terhitung.
3. Tuhan menerangkan di dalam surah al-Anfal ayat 66 yang bermaksud, "Sekarang Tuhan meringakan kepadamu dan dia sudah mengetahui padamu ada kelemahan. Sekiranya ada di antaramu seratus orang yang sabar, pasti mereka dapat mengalahkan dua ratus orang dan sekiranya di antaramu ada seribu orang (yang sabar), pasti mereka dapat mengalahkan dua ribu orang. Dan Tuhan bersama-sama orang-orang yang sabar."
4. Manakala Tuhan menyatakan di dalam surah Ali Imran ayat 200 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan bersedialah serta bertakwalah, supaya kamu mendapat kemenangan."
Dalam ayat 200 surah Ali Imran di atas mengandungi empat formula mencapai kemenangan iaitu:
1. Sabar: Antaranya sabar menahan nafsu, mengendalikan diri dan sebagainya.
2. Memperkasakan sabar: Ini merupakan sabar tahap kedua seperti menerima perlian kawan, orang yang iri hati melihat rancangan menuju kejayaan dan sebagainya.
3. Bersedia: Bersedia daripada pelbagai aspek dalam menempuhi cabaran dan kegagalan sebelum berjaya.
4. Bertakwa: Takwa kepada Tuhan adalah kunci sebelum sabar, memperkasakan sabar dan bersedia.
Walaupun ayat ini berkisar mengenai perang tetapi formula ini sekiranya diaplikasikan dalam kehidupan seharian dan dalam mencapai matlamat, kita pasti merasai dan mengecapi kejayaan. Kemudian, ayat ini diakhiri dengan frasa yang menarik, "Supaya kamu berjaya mendapat kemengan."
Lawan sabar adalah mengeluh. Ia adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana mengeluh membuat semangat menjadi lemah. Mengeluh juga boleh menerbitkan perasaan kecewa dan putus asa. Sedangkan Tuhan menerangkan di dalam Quran surah al-Insyirah ayat 6 yang bermaksud, "Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan."
No comments:
Post a Comment