Saturday, January 15, 2011

SHARING IS LOVING - Didikan Allah Dalam Solat




Untuk mendekatkan diri kita dengan Tuhan, kita perlu membaiki diri. Membaiki diri di sini bukan setakat membaiki yang lahir tetapi yang batin. Memperbaiki diri batin ialah dengan menyuci dan membersihkan roh dari najis-najis dan kekotoran-kekotoran yang bersifat maknawi, yang melekat pada setiap wajah rohani kita sama ada pada akal, pada hati dan pada nafsu.

Najis akal ialah kesyirikan dan mensyarikatkan Tuhan dengan sesuatu yang lain. Ataupun kufur terhadapNya. Najis akal termasuk juga segala pegangan kepada fahaman dan ideologi ciptaan manusia. 

Najis hati ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah yang bersarang di hati seperti riyak, sombong, angkuh,tinggi diri, hasad dengki, pemarah, pendendam dan sebagainya.

Najis nafsu pula ialah segala dorongan yang jahat dan negatif yang kalau dituruti akan menimbulkan dosa dan kemurkaan Tuhan. 
Apabila roh sudah diperbaiki dan disucikan maka akan terbukalah jalan untuk mengenal diri dan seterusnya untuk mengenal Tuhan. Untuk merasa bertuhan dan merasa kehambaan. Untuk merasakan bahawa Allah sentiasa wujud di dalam hidup kita, sentiasa melihat, sentiasa mendengar dan sentiasa mengetahui akan hal kita lahir dan batin.

Jalan untuk memperbaiki diri ialah dengan berzikir. Bermula dari zikir qauli (lidah), zikir fea’li (perbuatan) dan zikir qalbi (hati).

Zikir yang paling agung ialah solat. Di dalamnya terkandung segala bentuk zikir, segala bentuk amalan para malaikat dan segala bentuk amalan para nabi dan rasul. Di dalamnya kita meminta petunjuk, kita meminta ampun, kita mengadu dan kita bermanja dengan Tuhan. Di dalamnya juga kita memuji, membesarkan dan mensucikan Tuhan.

Di dalam solat, Allah mendidik kita. Namun demikian, Allah tidak mendidik semua orang yang mendirikan solat. Allah hanya mendidik orang-orang yang tertentu sahaja iaitu orang-orang yang khusyuk, tawadhuk dan khuduk di dalam solat. Allah SWT hanya mendidik orang-orang yang ,membawa fikiran dan hati mereka di dalam solat. laitu orang-orang yang faham apa yang mereka buat dan faham apa yang mereka lafazkan.

Orang-orang yang dapat menghayati dan merasakan di hati tentang apa yang mereka buat dan lafazkan di dalam solat. Bermula dari takbiratul ihram (Allahu Akbar), jika difahami dan dihayati sungguh-sungguh akan menimbulkan rasa-rasa tertentu di hati. 

‘Allahu Akbar’ dalam takbir itu bererti ‘Allah Maha Besar’. la merangkumkan segala sifat-sifat Allah yang hebat-hebat seperti sifat Jabbar, Qahhar, Gagah, Perkasa, Berkuasa, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan dan yang apabila Dia berkata, Jadi maka jadilah. Maka dengan takbir itu hati akan merasa takut, hebat dan gerun dengan Allah. 

Begitulah Allah mendidik kita. Apabila kita merasa takut dengan Allah, maka mudahlah kita menghindarkan diri daripada membuat dosa dan kemungkaran dan segala apa yang Allah larang. Kita sentiasa takut akan tersisih dari rahmat keampunan dan kasih sayang Tuhan.

Namun begitu, jika perasaan takut sahaja yang Allah campakkan ke dalam hati orang-orang yang mendirikan solat, maka akan lahirlah hamba-hamba Allah yang sentiasa takut dan hanya akan berusaha untuk mengelak dari membuat kemungkaran dan dosa.

Tidak ada dorongan untuk mencetuskan kebaikan-kebaikan yang lain. Oleh itu Allah syariatkan juga dalam solat supaya dibaca Bismillahirrahmanirrahim terutama pada awal Surah Al Fatihah.

Di dalam mazhab Syafie, Basmalah ini merupakan sebahagian daripada ayat Al Fatihah yang tujuh dan wajib dibaca dalam sembahyang. Kalau Basmalah ini dihayati dengan sungguh-sungguh, kita akan dapat merasakan betapa pemurah dan penyayangnya Tuhan yang sentiasa mencurahkan rahmat dan nikmatnya kepada manusia sama ada yang berbentuk lahiriah atau material, mahupun yang berbentuk maknawi atau spiritual.

Dengan ini akan timbul rasa cinta dan kasih kepada Tuhan. Rasa cinta ini akan mendorong kita berbakti dan membuat kebaikan untuk Tuhan serta berusaha dan berjuang untuk mendapat cinta dan kasih sayang-Nya.

Kita disyariatkan pula membaca Hamdalah iaitu (Alhamdulillah) pada awal surah Al Fatihah. Di sini kita memuji Tuhan sebagai tanda syukur dan terima kasih kita atas segala rahmat, nikmat dan kebaikan yang telah dikurniakan-Nya kepada kita.

Jadi kita lihat, di dalam solat itu terkandung berbagai didikan dari Tuhan yang di antara satu sama lainnya saling kait-mengait dan kuat menguatkan. Solat itu ibarat satu siri atau satu set didikan rohaniah yang lengkap dan seimbang. Supaya hamba yang mendirikan solat itu terdidik dan terbina sebagai seorang insan yang seimbang dan kukuh lahir batinnya.

Di samping untuk memupuk sifat takut dan cinta kepada Tuhan, berbagai-bagai lagi didikan terdapat di dalam solat. Doa yang disyariatkan contohnya, akan meningkatkan dan menajamkan lagi sifat-sifat hamba yang ada pada kita. Ia akan menambah pergantungan, menaruh harap dan penyerahan kita kepada Allah.

Mengadu-ngadu kepada Tuhan di dalam solat pula akan melapangkan dada seseorang hamba kerana telah menyerahkan segala beban masalahnya kepada Tuhan untuk diselesaikan.

Begitulah caranya Allah mendidik hamba-hambaNya yang ikhlas, khusyuk, tawadhuk clan khuduk di dalam mendirikan solat dengan berbagai didikan bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam.

Wa'Allahu 'Alam..

No comments:

Post a Comment