Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita mempertingkatkan rasa gerun, takut dan waspada kita kepada Allah SWT. Marilah juga kita mempertingkatkan rasa kehambaan dan kecintaan kita kepada
Allah SWT. Tuhan Rabbul ‘Alamin.
Penentu kepada kebahagiaan sesebuah rumahtangga sebahagian besarnya terletak di tangan suami. Suamilah yang menentukan hala tuju dan masa depan rumahtangga. suamilah yang mencorakkan didikan dan pentarbiyyahan yang hendak diterapkan kepada isteri dan anak-anak. Baik atau tidak baiknya pengurusan sesebuah rumahtangga terletak di bahu suami. Jika suami baik dan bertangggungjawab akan baiklah keluarga tersebut. Tetapi jika suami alpa dan lalai dengan tanggungjawabnya, maka akan terabai dan porak perandalah rumahtangganya.
Statistik keruntuhan rumahtangga di kalangan pasangan Islam di Malaysia saban tahun sangat membimbangkan. Tahun 2007 sebagai contoh menyaksikan jumlah perkahwinan yang dilangsungkan ialah sebanyak 131,086 pasangan,
namun jumlah perceraian pada tahun yang sama turut meningkat kepada 20,529 pasangan. Ini menunjukkan setiap enam perkahwinan berlaku satu perceraian.
Di negeri Selangor pula bagi tahun 2009 jumlah perkahwinan ialah 17,299 pasangan. Manakala jumlah perceraian ialah 4,560 pasangan. Terdapat dua faktor utama yang membawa kepada keruntuhan dan kegagalan sesebuah rumahtangga iaitu faktor dalaman dan luaran. Khutbah Jumaat 28 Januari 2011: Nasihat Untuk Para Suami
Faktor dalaman ialah:
Pertama - Faktor kelemahan kepimpinan suami
Kedua - Faktor kelemahan peranan isteri dalam mengurus
rumahtangga.
Manakala faktor luaran pula ialah:
Pertama - Faktor ekonomi yang menyebabkan kesempitan hidup.
Kedua - Faktor tekanan kerja
Ketiga - Faktor campurtangan keluarga dan orang ketiga.
Sidang Jumaat yang dihormati,
Islam sangat mengambil berat mengenai berbuat baik kepada isteri. Rasulullah s.a.w. dalam wasiat terakhirnya dalam Haji Perpisahan turut menyentuh kepentingan berbuat baik kepada wanita dan isteri. Imam An-Nawawi sendiri turut meletakkan satu bab dalam kitabnya Riyadhus-Solihin yang mengumpulkan koleksi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyeru kepada berbuat baik kepada kaum wanita.
Isteri atau wanita dijadikan Allah dengan fizikal dan emosi yang lemah. Fizikal dan emosi yang lemah tidak bermakna akal mereka turut lemah. Kemampuan akal fikiran mereka kadangkala jauh lebih baik daripada lelaki tetapi dari sudut emosi dan perasaan, mereka mudah terguris dan terluka. OIeh sebab itu, suami yang baik harus memahami dan menyelami perasaan dan emosi isterinya.
Pengetahuan mengenai sifat dan sikap wanita, kelemahan dan kekurangan mereka perlu diketahui dengan sebaiknya bagi mewujudkan perasaan toleransidan hormat-menghormati antara satu sama lain. Perhatikanlah Hadith
Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan sikap yang perlu ada pada para suami dalam menangani kekurangan dan kelemahan wanita sebagaimana sabdanya :
"Terimalah wasiat ini yang aku wasiatkan kepada kamu iaitu berbuat baiklahkepada wanita kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok pada rusuk ialah pada bahagian atas-Nya. Jika engkau hendak meluruskan bahagian yang bengkok itu maka nescaya engkau akan mematahkannya, tetapi jika engkau membiarkannya, maka ia akan sentiasa bengkok, maka berbuat baiklah kepada wanita".
Tulang rusuk yang bengkok yang dinyatakan dalam Hadith tersebut menggambarkan kekurangan wanita yang harus diterima dengan hati yang redha. Tetapi ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mempunyai kekurangan atau kelemahan. Apa yang dimaksudkan daripada Hadith ini ialah suami yang baik ialah suami yang boleh menerima kekurangan yang ada pada isterinya. Jika suami boleh menerima kekurangan dan kelemahan isteri dan isteri boleh menerima kekurangan suaminya, maka akan bahagialah rumahtangga tersebut.
Jika seorang suami hendakkan kesempurnaan pada isterinya maka sudah pasti dia tidak akan menemuinya, walaupun bilangan isterinya bertambah atau silih berganti. Para suami sama sekali tidak akan dapat menemui isteri yang mampu taat kepadanya dan mendengar kata-katanya seratus peratus tanpa ada perasaan tidak puas hati atau bangkangan. Namun kekurangan tersebut harus dilihat secara positif sebagaimana Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 19 :
“Dan bergaullah kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Contoh yang terdekat yang pernah berlaku mengenai kisah seorang wanita yang melecur muka dan belakang badannya akibat disimbah cuka getah oIeh suaminya yang berang apabila keinginannya untuk melakukan hubungan kelamin ditolak. Sesungguhnya Islam melarang sama sekali deraan dan siksaan kepada isteri sama ada deraan fizikal atau pun emosi. Sebarang ketidak puasan oIeh suami terhadap isterinya tidak harus disalurkan melalui siksaan fizikal atau emosi. Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan suami yang memukul isterinya dengan sabdanya:
"Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada akhirnya dia akan menidurinya juga".
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri telah digariskan oIeh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadithnya. Ketika mana Rasululladitanya oIeh Mu’awiyah bin Haydah mengenai hak isteri yang tertanggung ke
atas suaminya. Rasulullah s.a.w. menjawab:
"Kamu memberi makan kepadanya jika kamu makan dan mengadakan baginya pakaian jika kamu memakai pakaian dan jangan sekali-kali memukul muka dan jangan menghina dan jangan mengasingkan diri daripada tempat tidur isterinya untuk tujuan pengajaran melainkan di rumah".
Hadith ini jelas merupakan panduan terbaik bagi para suami dalam memimpin bahtera perkahwinan mereka. Makanan dan pakaian merupakan tanggungjawab suami yang perlu diberikan kepada isteri. Malah dalam satu riwayat yang lain sepotong makanan yang disuapkan ke mulut isteri turut diberikan ganjaran pahala oIeh Allah SWT. Hadith ini turut menjelaskan mengenai tegahan Rasulullah s.a.w. daripada memukul isterinya di bahagian muka. Ini adalah kerana bahagian muka adalah lambang kepada kemuliaan dan kehormatan selain daripada gambaran kecantikan seorang wanita. Larangan memukul bahagian muka tidak terhad kepada kaum wanita sahaja tetapi turutmerangkumi semua golongan lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang tua. Sikap menghina, mencerca dan mengeluarkan perkataan keji di antara suami dan isteri serta kaum keluarga mereka adalah ditegah dan dilarang oIeh Islam.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Rasulullah s.a.w. merupakan model terbaik bagi para suami dalam memimpin bahtera rumahtangga. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri menyifatkan Baginda adalah orang yang paling baik terhadap kaum keluarganya sebagaimana Sabdanya yang bermaksud :
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku”.
(Riwayat At-Tirmizi
Malangnya amat mendukacitakan apabila ada segelintir individu tertentu yang baik terhadap rakan-rakan dan sahabat-handainya, tetapi zalim dan buruk akhlaknya terhadap kaum keluarganya sendiri. Untuk mengembalikan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga, setiap pasangan mestilah bermuhasabah diri terhadap tanggungjawab dan
kewajipan masing-masing. Setiap orang dari pasangan harus berlapang dada untuk menerima kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka.
Bagi suami segala sifat buruk seperti panas baran, ego , suka mengungkit-ungkit, kaki pukul dan seumpamanya harus dibuang dari diri mereka. Jika sifat-sifat buruk ini tidak dibuang maka sudah tentu keharmonian rumahtangga tidak akan tercapai. Harus diingat, kehidupan berumahtangga ibarat kapal kecil di tengah lautan, sentiasa dilambung ombak dalam cuaca yang tidak menentu. Dalam hal ini, suami yang diibaratkan sebagai nakhoda sepatutnyalah yang menentukan selamat atau tidak pelayaran kapal tersebut. Keluarga yang harmoni akan mendatangkan keamanan kepada masyarakat, manakala masyarakat yang baik, akan mendatangkan kemajuan kepada negara.
"Dan antara tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir"
-Sumber JAIS
No comments:
Post a Comment