Tuesday, January 4, 2011

SHARING IS LOVING - MENYINGKAP TIRAI KEBAHAGIAAN

Sumber :  
Bila kita bertanyakan secara berasingan  kepada sepuluh orang kenalan kita mengenai erti kebahagiaan, maka kita akan mendapatkan jawapan yang pelbagai. Kebarangkalian untuk kesemua mereka memberikan jawapan yang sama adalah tipis. Ini kerana definisi kebahagiaan adalah subjektif mengikut penilaian setiap individu. Persoalannya, adakah benar erti kebahagiaan yang kita sangka selama ini bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Islam?

Ada yang merasakan bahawa kebahagiaan itu terletak dalam kedudukan dan  jawatan yang hebat di sisi manusia lalu dia bersungguh-sungguh mengejarnya. Misalnya Firaun, seorang yang mempunyai kedudukan dan jawatan tertinggi di Mesir satu ketika dahulu. Berulang-ulang kali Allah ceritakan perihal Firaun ini di dalam Al-Quran. Betapa dia seorang yang angkuh, sombong, ego dan bongkak dengan kuasa dan kedudukan yang dimilikinya sehingga menjadi seorang yang sangat ingkar kepada ajaran Nabi Musa a.s. Akhirnya dia mati dalam keadaan hina ditelan Laut Merah. Bahkan Allah kekalkan jasadnya hingga hari ini sebagai pengajaran kepada kita semua. Ternyata kedudukan yang tinggi tidak menjamin kebahagiaan seorang manusia bila tidak disertakan dengan iman.  

Ada yang menyangka bahawa kebahagiaan itu adalah pada harta yang melimpah ruah, lalu dia berusaha siang malam untuk mengumpul harta sehingga menjadi mewah. Allah mengisahkan perihal Qarun, si kaya yang memiliki khazanah harta yang sangat banyak sehingga anak-anak kunci gedungnya sahaja terpaksa dibawa oleh satu kumpulan pekerjanya yang gagah. Namun malang sekali, kemewahannya itu hanya membawanya semakin jauh daripada Allah. Dia menjadi salah seorang penentang terhebat kepada dakwah Nabi Musa a.s selain Firaun. Akhirnya Allah membenam Qarun dan mahligainya ke dalam bumi sebagai balasan kepada perbuatannya. Ternyata kemewahan yang melimpah ruah tidak menjamin kebahagiaan seseorang apabila tidak disertakan dengan iman.

Tidak kurang pula yang menganggap kebahagiaan itu terletak pada raut wajah yang cantik, lalu dia sanggup membelanjakan sebanyak mungkin hartanya melakukan pembedahan plastik demi mencantikkan wajah. Ya, kebiasaannya wajah memang menjadi cantik setelah pembedahan. Namun untuk tempoh berapa lama? Berapa banyak pula pantang larang yang mesti dijaga supaya kulit muka tidak rosak? Adakah siapa-siapa yang boleh menjamin bahawa wajahnya akan kekal cantik sampai ke hari tua?

Ramai juga yang mengira bahawa kebahagiaan itu terletak di dalam kemasyhuran. Mereka sanggup melakukan apa sahaja yang boleh menjadikan mereka masyhur, walaupun terkadang terpaksa melakukan perkara yang menggadai nyawa mereka sendiri bahkan terkadang sanggup meninggalkan solat bila bertembung waktunya. Mereka mendambakan kemasyhuran, pujian  dan sanjungan disisi manusia sedangkan dalam masa yang sama mengundang murka Allah. Bahagiakah mereka sebenarnya?

Dikalangan  remaja khususnya, ada yang menyangka kebahagiaan itu terletak dalam rasa cinta dan kasih tidak terhingga kepada pasangannya walaupun masih belum diikat dengan ikatan yang sah.  Mereka berasa amat bahagia dapat berpegangan tangan, jalan berpelukan dan 'bersiar-siar' di taman pada waktu malam berduaan. Sehingga dek kerana melayan rasa cinta itu tadi kehormatan pun terkorban. Maruah tercalar. Pasangan yang tadinya begitu hebat menyusun bait-bait indah madah cinta, kini mula mengatur langkah untuk menjauhkan diri. Lalu hati menjadi hancur dan akal hilang pertimbangan. Rasa sesal mula menyinggah. Akhirnya berlakulah 'drama bersiri' pembuangan anak, bunuh diri dan macam-macam lagi yang entah bila akan menemui episod terakhir.

Begitulah realiti yang terjadi dalam kehidupan kita. Banyak perkara yang kita sangka ianya membahagiakan dan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk memperolehinya, rupanya tanpa kita sedar ia sebenarnya adalah punca kebinasaan.

DI MANAKAH KEBAHAGIAAN HAKIKI?


Kebahagiaan itu sebenarnya terletak dalam sejauh mana kecintaan kita sebagai seorang hamba kepada Allah s.w.t.  Rasa cinta ini tidak akan hadir melainkan dengan iman. Kemanisan iman pula tidak akan diperolehi melainkan apabila kita bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan dan memeliharanya.

Seorang hamba Allah yang benar-benar beriman kepada Allah akan sentiasa redha dan pasrah dengan apa jua ketentuan Allah kepada dirinya. Dia tahu bahawa segalanya datang dari Allah. Kesenangan dan kesusahan itu dari Allah. Buruk dan baik juga dari Allah. Begitu juga dengan kebahagiaan, ia juga datangnya dari Allah. Setiap apa yang berlaku kepadanya, dia akan sandarkan kepada Allah dan dengan itu dia akan sentiasa berasa tenang dan bahagia dalam apa jua keadaan. Kalau diberi nikmat, dia bersyukur. Kalau diuji dengan musibah, dia bersabar.

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Ajaibnya orang beriman; semua urusannya baik-baik belaka. Sekiranya dia dikurniakan nikmat, dia bersyukur dan itulah yang terlebih baik baginya. Sekiranya ditimpa ujian, dia bersabar dan itu adalah terlebih baik baginya. Hal seperti ini tidak akan berlaku melainkan hanya kepada orang yang beriman." HR Muslim.

Ya, kebahagiaan hakiki adalah anugerah yang Allah khususkan untuk orang yang beriman. Mereka tetap bahagia walaupun kehidupan mereka sentiasa diliputi dengan perkara yang pada pandangan insan lain sebagai kesengsaraan. Mereka faham bahawa kemewahan, pangkat, darjat, kedudukan, kecantikan dan apa sahaja yang seumpamanya hanya nikmat yang bersifat sementara dan tidak berkekalan. Ia bukanlah syarat kebahagiaan. Syarat bahagia adalah iman. Semewah mana pun kita, setinggi mana pun darjat kita, seindah mana pun rupa paras kita, semuanya tidak akan dapat menjamin kebahagiaan selagi kita tidak sertakan dengan iman.

 BAGAIMANA UNTUK BAHAGIA?

Ada banyak cara yang diajar oleh Islam untuk kita memperoleh kebahagiaan. Antaranya adalah dengan menahan kemarahan kita selagi perkara itu bukanlah perkara yang meremehkan soal agama. Jangan mudah marah kerana marah itu adalah kunci kepada kejahatan. Syaitan amat suka dengan orang yang sedang marah. Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w mengajar kita supaya segera berwuduk ketika sedang marah, kerana kemarahan itu adalah 'api' yang dinyalakan oleh syaitan dan ia akan segera padam bila kita berwuduk. Bila rasa marah itu hilang, kita pasti akan berasa tenang, bahagia dan tidak tertekan.

Kebahagiaan juga akan datang bila kita sentiasa bersyukur dan redha dengan apa jua yang Allah rezekikan kepada kita. Rezeki segantang kita bersyukur, rezeki secupak pun kita bersyukur. Lihatlah mereka yang lebih bawah daripada kita dalam hal keduniaan ini. Pasti kita akan mendapati mereka yang jauh lebih susah dan sedikit pendapatannya daripada kita. Bukan hendak mengatakan tidak perlu berusaha mencari rezeki dan hanya berserah sahaja kepada Allah. Tidak. Ini bukan konsep yang betul. Bahkan kita hendaklah berusaha semampu yang boleh, namun urusan rezeki kita serahkanlah kepada Allah. Seperti yang dikatakan tadi, kalau banyak kita bersyukur, kalau sedikit pun kita bersyukur.

Ikhlas dalam beramal juga adalah kunci kebahagiaan. Amalan yang ikhlas hanya kerana Allah akan membuat kita langsung tidak mengharapkan sebarang pujian daripada manusia. Bila kita melakukan amalan yang bukan kerana Allah, maka kita tidak akan berasa puas hati selagi amalan itu tidak diketahui oleh orang yang kita sasarkan. Kita akan berasa tidak bahagia bila bakal mertua tidak melihat kesolehan kita menunaikan solat dengan penuh 'khusyuk'. Kita juga akan berasa tidak bahagia kalau orang ramai tidak melihat cek besar yang kita sumbangkan kepada mereka yang memerlukan. Sedangkan apalah yang ada pada pujian manusia yang sangat bersifat sementara. Oleh itu ikhlaskanlah niat kita dalam beramal. Beramallah dengan penuh rasa cinta kepada Allah, bukan cinta kepada pujian orang ramai. InsyaAllah kita pasti akan berasa bahagia.

SIFAT MAZMUMAH MENGHILANGKAN BAHAGIA

Kebahagiaan yang hakiki tidak dapat dirasai oleh seorang yang melazimi perbuatan mazmumah, iaitu perbuatan yang dicela oleh agama. Iman adalah cahaya yang membawa kebahagiaan manakala perbuatan mazmumah hanya mengundang kegelapan. Hati yang tiada cahaya iman sebenarnya tidak bahagia walaupun pada zahirnya dilihat bahagia.

Sesungguhnya sifat marah, dendam, hasad dengki, bakhil, tamak, mudah marah, ego, riak, cinta dunia dan pelbagai lagi penyakit hati adalah sifat mazmumah yang sangat perlu kita hindari jika kita ingin mengecap nikmat bahagia. Yakinlah, semakin banyak sifat mazmumah ada dalam diri kita sebanyak itulah juga kita akan jauh daripada kebahagiaan.

Oleh itu marilah kita semua sama-sama kembali kepada Allah. Carilah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang pernah dikecapi oleh para kekasih Allah. Marilah kita kembali kepada ajaran Al-Quran dan Hadis.  Marilah kita luangkan masa untuk menghayati ajaran Rasulullah s.a.w. InsyaAllah melaluinya kita akan beroleh kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment