Monday, January 31, 2011

SHARING IS LOVING - Menghidupkan Sembahyang Berjemaah




Dalam Islam, amalan yang paling pokok ialah sembahyang. Sembahyang boleh menjadi ukuran kepada seseorang sama ada ia seorang Islam yang sempurna atau pun tidak. Orang yang mengaku dirinya beragama Islam, tidak sempurna Islamnya jika ia tidak melakukan ibadat sembahyang. Sembahyang berjemaah di masjid atau surau dituntut oleh Islam.

Kelebihannya sangat besar dan pahalanya 27 kali ganda daripada sembahyang berseorangan. Sembahyang jemaah dapat mewujudkan hubungan silaturrahim, melahirkan perhubungan kasih sayang dan semangat kekitaan dan dapat 
menghindarkan perasaan mementingkan diri sendiri. Oleh itu bagi orang yang tidak berhampiran atau berdekatan dengan masjid atau surau adalah disunatkan ke masjid atau surau bersama keluarga bagi menunaikan sembahyang jemaah.

Bagi orang yang tinggal jauh dari masjid, mereka digalakkan mengerjakan sembahyang jemaah di rumah bersama keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga adalah bertindak sebagai imam, manakala anak-anak dan isteri sebagai makmum. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, kerana waktu-waktu itu lazimnya ibu bapa dan anak-anak berada di rumah. Jika terdapat tetamu yang mengunjungi rumah pada waktu te
rsebut, eloklah mereka diajak bersembahyang jemaah bersama-sama .

Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.



Sumber  : http://permatahatiku123.blogspot.com/

SHARING IS LOVING - penyakit Hati dan sifat Buruk Manusia


Assalamualaikum...Peringatan dan pedoman buat diri cinta..dan amnya buat kawan2 juga yang di sayangi ...Renung dan bacalah dengan matahati ..moga mendapat kebaikan darinya..Amin

1. Iri Hati – Iri hati adalah suatu sifat yang tidak senang akan rezeki dan nikmat yang diperolehi oleh orang lain dan cenderung berusaha untuk menyainginya. Iri hati yang diperbolehkan dalam ajaran Islam adalah iri dalam hal berbuat kebajikan, seperti iri untuk menjadi pintar agar dapat menyebarkan ilmunya di kemudian hari. Atau iri untuk membelanjakan harta di jalan kebenaran.

2. Dengki - Dengki adalah sikap tidak senang melihat orang lain bahagia dan berusaha untuk menghilangkan nikmat tersebut. Sifat ini sangat berbahaya kerana tidak ada orang yang suka dengan orang yang memiliki sifat seperti ini.

3. Hasut – Hasut adalah suatu sifat yang ingin selalu berusaha mempengaruhi orang lain agar marah orang tersebut meluap dengan tujuan dapat memecah-belahkan persatuan dan tali persaudaraan agar timbul permusuhan dan kebencian antara sesama.

4. Fitnah – Fitnah lebih kejam dari pembunuhan dan ia suatu kegiatan menjelek-jelekkan, menodai, merosak, menipu, atau membohongi seseorang agar menimbulkan permusuhan, sehingga dapat berkembang menjadi tindakan jenayah pada orang lain tanpa bukti yang kuat.

5. Buruk Sangka – Buruk sangka adalah sifat yang curiga atau menyangka orang lain berbuat buruk tanpa disertai bukti yang jelas.

6. Khianat - Khianat adalah sikap tidak bertanggungjawab atas amanat atau kepercayaan yang telah dilimpahkan kepadanya. Khianat biasanya disertai bohong dengan janji. Khianat adalah ciri-ciri orang munafik. Orang yang telah berkhianat akan dibenci orang disekitarnya dan kemungkinan besar tidak akan dipercayai lagi di kemudian hari.

Ya Rabb jauhkanlah Hamba MU dari golongan orang2 yang mempunyai penyakit hati dan sifat buruk tersebut.

Amin.....

Sunday, January 30, 2011

SHARING IS LOVING - SAKIT ITU ANUGERAH


Nikmat Peringatan
Kita perlu sedar bahawa kita adalah manusia. Dinamakan manusia kerana fitrah manusia adalah pelupa. Ada antara kita berilmu luas, ada pula antara kita harta melaut, ada pula kita kebolehan tak tertanding, dan 1001 nikmat lagi. Tetapi dengan sakit, semuanya itu seakan tidak berguna langsung. Yang kita mahu adalah sihat.
Ketika itu kita akan tersedar. Kalau ilmu, harta, kebolehan dan kebanyakan nikmat material lain kadangkala boleh menjauhkan kita daripada Allah SWT apabila disertai bongkak, angkuh, riya’ dan sebagainya, sakit membuatkan kita beringat.

Kadangkala kita akan terfikir, apakah yang telah kita lakukan atas tubuh kita yang sihat sebelum ini? Kadangkala kita akan teringat, perbuatan-perbuatan kita yang tidak sepatutnya kita buat semasa kita sihat.
Ada pepatah berkata:

“Hanya orang yang miskin tahu nikmat kekayaan, hanya orang sakit tahu nikmat kesihatan, dan hanya orang mati tahu nikmat kehidupan”

Sakit, mampu menjadikan kita beringat. Seakan-akan bila kita sakit, Allah SWT berbisik kepada kita:
“Sesungguhnya Aku mampu menarik nikmatKu bila-bila masa sahaja”

Maka wajiblah kita memperingatkan diri
Allah SWT berfirman:

“Demi Sesungguhnya , Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan brikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar” Surah Al-Baqarah ayat 155.

“Dan patutkah mereka tidak mahu memerhatikan, bahawa mereka diuji, pada setiap tahun, sekali atau dua kali(paling kurang), kemudian mereka tetap juga tidak bertaubat dan tidak juga mereka mahu mengingat?” Surah At-Tawbah ayat 126.

“Alangkah baiknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri(taubat dan insaf) ketika mereka ditimpakan azab Kami?…” Surah Al-An’am ayat 43.

“Tidak ada satu kesusahan, yang menimpa di bumi dan juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia diadakan di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya yang mengadakan demikian(kesakitan, cubaan, bencana) itu, adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati dengan apa yang luput daripada kamu, dan supaya kamu tidak bongkak dengan apa yang ada pada diri kamu, dan ingatlah bahawa Allah tidak suka pada setiap mereka yang takabbur lagi membanggakan diri” Surah Al-Hadid ayat 22-23.

Tiadalah sakit-sakit ini menimpa kita, tiadalah bencana itu ini menyentuh kita, melainkan ada hikmahnya. Allah ingin kita kembali mengingati-Nya, bergerak ke arah-Nya, muhasabah kembali kehidupan kita.
Sakit adalah petanda bahawa kita adalah manusia.

Ya, manusia yang lemah. Sebagai yang lemah, kita perlu beringat. Perlu sentiasa sedar akan kekerdilan kita. Didatangkan sakit, adalah untuk kita beringat betapa kita hakikatnya langsung tidak patut mendongak bongkak kepada Yang Maha Berkuasa – Allah SWT.

Penutup: Maka bersyukurlah atas nikmat ini

Jangan dicela sakit yang menimpa. Ambil penyakit itu sebagai peringatan. Sesungguhnya kita ini manusia yang lupa, dan sakit bencana yang menimpa itu untuk peringatan.

Dan tidaklah peringatan itu tiba dari yang bukan memerhatikan. Maka ketahuilah bila anda sakit, Allah hakikatnya sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?
Tetapi bagaimana kita melayan sakit kita? Bagaimana kita berhadapan dengannya?
Ada antara kita menyumpah Allah kerana menyukarkan kehidupan kita.

Namun Allah SWT berfirman:
“Dan apa jua bencana, kesakitan yang menimpa kamu, maka ia adalah daripada tangan-tangan kamu sendiri(dari perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada masa yang sama dikenakan bencana dan sakit itu) Allah mengampunkan sebahagian besar dosa-dosa kamu”Surah Asy-Syura ayat 30.

Bukankah kita sentiasa mendengar: Sakit itu kaffarah dosa?
Di sini kita muhasabah kembali kehidupan kita.
Sakit itu nikmat, yang tidak boleh kita biarkan ia berlalu sia-sia.

SHARING IS LOVING - PESANAN BUAT MANUSIA



1) Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. 

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat.

Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2) Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia hingga terlupa Wawasan Akhirat. Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya.

Saham Amanah Dunia tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat. 

3) Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini.

Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa? 

4) Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. 

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi).

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu. 

5) Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
 
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya.

Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya.

Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

[Cahayamukmin.blogspot.com]





SHARING IS LOVING - Aduhai Wanita.......................

Assalamualaikum...di tujukan khans buat teman muslimat yang di sayangi kerana ALLAH...
Sebagaimana Allah suka kepada wanita yang solehah, Allah juga sangat murka kepada beberapa jenis wanita. Oleh itu, sangat perlu bagi kita mengetahui perkara yang boleh menyebabkan kebencian-Nya supaya kita terhindar daripada kemurkaan-Nya.

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda : “ kalau seandainya apa yang ada di bumi ini merupakan emas dan perak serta dibawa oleh seorang wanita ke rumah suaminya. Kemudian pada suatu hari dia melontar kata-kata angkuh, “engkau ini siapa? Semua harta ini milikku dan engkau tidak punya harta apa pun.” Maka terhapuslah semua amal kebaikannya walaupun banyak.

Nabi Muhammad SAW seorang yang sangat kasih kepada umatnya dan terlalu menginginkan keselamatan bagi kita terhadap azab Allah taala. Beliau menghadapi segala bentuk penderitaan, kesakitan, keletihan, dan tekanan. Begitu juga air mata dan darah baginda telah mengalir semata-mata kerana kasih-sayangnya terhadap kita. Maka lebih-lebih lagi kita sendirilah yang wajar berusaha untuk menyelamatkan diri kita, keluarga kita dan seluruh umat baginda.

Ali r.a. meriwayatkan, “ Saya bersama Fatimah berkunjung ke rumah Rasulullah dan kami temui baginda sedang menangis. Kami bertanya, “ Mengapa tuan menangis wahai Rasulullah?” Baginda menjawab. “ Pada malam aku di Isra’kkan ke langit, aku melihat orang sedang mengalami berbagai-bagai penyeksaan, maka apabila teringatkan mereka, aku menangis.” Saya bertanya lagi, “ Wahai rasulullah apakah yang tuan lihat?”
Baginda bersabda:

1. Wanita yang digantung dengan rambutnya dan otak mendidih.

2. Wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dipaut dari punggungnya sedangkan aspal yang mendidih dari neraka di tuangkan ke kerongkongnya.

3. Wanita yang digantung dengan buah dadanya dari balik punggungnya sedangkan air getah kayu zakum dituang ke kerongkongnya.

4. Wanita yang digantung, diikat kedua-dua kaki dan tangannya kearah ubun-ubun kepalanya serta dibelit di bawah kekuasaan ular dan kala jengking.

5.Wanita yang memakan badannya sendiri serta di bawahnya tampak api yang menyala-nyala dengan hebatnya.

6. Wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka.

7. Wanita yang bermuka hitam dan memakan ususnya sendiri.

8. Wanita yang tuli, buta, dan bisu dalam peti neraka sedang darahnya mengalir dari rongga badannya (hidung,telinga,mulut) dan badannya membusuk akibat penyakit kulit dan lepra.

9. Wanita yang berkepala seperti kepala khinzir dan keldai yang mendapat berjuta jenis seksaan.
Maka berdirilah Fatimah seraya berkata, “ Wahai ayahku, cahaya mata kesayanganku, ceritakanlah kepadaku apakah amal perbuatan wanita-wanita itu?” Rasulullah SAW bersabda, “ Wahai Fatimah, adapun tentang :

1. Wanita yang digantung dengan rambutnya kerana dia tidak menjaga rambutnya (bertudung) di kalangan lelaki.

2. Wanita yang digantung dengan lidahnya kerana di menyakiti hati suaminya dengan kata-kata.

3. Kemudian Nabi s.a.w bersabda : “ Tidak seorang wanita menyakiti hati suaminya melalui kata-kata kecuali Allah akan membuatkan mulutnya kelak di hari kiamat selebar 70 zira’ kemudian akan mengikatnya di belakang lehernya.

4. Adapun wanita yang digantung dengan buah dadanya kerana dia menyusui anak orang lain tanpa izin suaminya.

5. Adapun wanita yang diikat dengan kaki dan tangannya itu kerana dia keluar rumah tanpa izin suaminya, tidak mandi wajib dari haid dan nifas.

6. Adapun wanita yang memakan badannya sendiri kerana suka bersolek untuk dilihat lelaki lain serta suka berbicara keaiban orang.

7. Adapun wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka kerana dia suka menonjolkan diri (ingin terkenal) di kalangan orang yang banyak dengan maksud supaya orang melihat perhiasannya dan setiap orang jatuh cinta kepadanya kerana melihat perhiasannya.

8. Adapun wanita yang diikat kedua-dua kaki dan tangannya sampai ke ubun-ubunnya dan dibelit oleh ular dan kala jengking kerana dia mampu mengerjakan solat dan puasa. Tetapi dia tidak mahu berwuduk dan tidak solat serta tidak mahu mandi wajib.

9. Adapun wanita yang kepalanya seperti khinzir dan badannya seperti keldai kerana dia suka mengadu-domba (melaga-lagakan orang) serta berdusta.

10. Adapun wanita yang berbentuk seperti anjing kerana dia ahli fitnah serta suka marah-marah kepada suaminya.

Dan ada diantara isteri nabi-nabi yang mati dalam keadaan tidak beriman kerana mempunyai sifat yang buruk walaupun mereka adalah isteri kepada manusia yang terbaik zaman itu. Antara sifat buruk mereka:

1. Isteri Nabi Nuh suka mengejek dan mengutuk suaminya.

2. Isteri Nabi Lut suka bertandang ke rumah orang.
Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan keburukkan. Kalau kita tidak berasa takut atau rasa perlu berubah, maka kita kena khuatir, takut kita tergolong dalam mereka yang tidak diberi petunjuk oleh Allah taala.

Na’uzubillahi min zalik..


Wallahu'alam....

SHARING IS LOVING - KEBAHAGIAAN




Assalammu'alaikum...

KEBAHAGIAN.

Kita boleh bertanya kepada diri kita sendiri apa itu kebahagian?
Apa itu kesenangan?
Apa itu kebahagian?
Apa itu ketenteraman jiwa?

Kita perlu duduk sebentar dengan fikiran yang tenang dan waras sambil merenung dan berfikir tentang itu!

Cuba kita lihat disekeliling kita!
Kita lihat manusia2 disekeliling kita. Kita lihat jiran2 kita, ahli keluarga kita, kawan2 kita, masyarakat kita dan akhir sekali...kita lihat diri kita sendiri.....
Kita akan dapati...semua manusia mengejar kebahagian didalam hidup mereka ini!

Dan kemudian....
Mari kita buat kajian tentang tajuk itu!

Kita akan dapati....semua manusia yang hidup didunia ini cuba berusaha mengejar kebahagian masing2 didalam bentuk perkara yang berbedza-bedza dan berbagai2 cara yang berbedza2!

Ada yang bahagia kerana berjaya didalam pelajaran dan jawatan mereka....
Ada yang bahagia kerana mempunyai kekayaan harta benda dan maju perniagaan mereka..
Ada yang bahagia kerana berjaya mendapatkan apa2 cita2 kebendaan mereka...
Ada yang bahagian kerana mempunyai keluarga kukuh dan mesra lagi berkasih sayang!
Ada yang bahagia kerana dapat mengerjakan amal soleh.
Ada yang bahagia kerana merasa cinta kepada Tuhannya....
Dan berbagai2 bentuk dan contoh lainnya....

Dengan lain perkataan....
Semua manusia cuba mengejar kebahagian masing2!
Sedar ataupun tidak....sengaja atau pun tidak....semua manusia adalah didalam perjalanan kearah itu! 

Agama Islam telah mengajar manusia fahaman2 dan cara2 untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat!
Manusia yang waras dan berakal akhirnya akan bersetuju bahawa...agama islam adalah cara2 dan jalan yang terbaik untuk manusia mencapai kebahagian hati perasaan dan jiwa yang murni!

Sebagai umat islam....marilah kita mengejar kebahagian hidup didunia dan akhirat dengan mengunakan kaedah agama islam kita sendiri sebagai pedoman hidup!

Tiada jalan lain melainkan dengan pedoman Al Quran dan sunnah Rasul...!!
Buat mencapai kebahagian hidup didunia dan akhirat !!

Wassalam

Saturday, January 29, 2011

SHARING IS LOVING - KHUTBAH JUMAAT “ MENANTI DI ALAM KUBUR ”



Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketakwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “ MENANTI DI ALAM KUBUR”.

Sidang Jumaat Yang di Rahmati Allah,

Setiap yang bernyawa pasti akan mati, begitu jugalah dengan manusia tiada seorang pun boleh lari dari ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila ajal seseorang itu telah sampai malaikat Izrail tetap akan mencabut nyawanya tidak kira di mana seseorang itu berada. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 8:

Maksudnya : " Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).

Begitulah apabila nyawa seseorang telah terpisah daripada jasadnya, maka tinggallah segala apa yang dimilik sama ada ahli keluarga,anak-anak, saudara mara, pangkat,harta benda dan sebagainya. Jasad yang terbujur kaku akan diurus dan dihantar ke kubur untuk dikebumikan. Pada saat itu, terpisahlah ia ke alam lain iaitu alam kubur atau alam barzakh sementara menunggu hari hisab dan pembalasan di akhirat.

Menurut kamus Lisanul Arab oleh Ibni Manzur, makna alam kubur ialah suatu tempat di antara dunia dan akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar daripada waktu mati hinggalah dibangkitkan atau ia juga bermakna dinding pemisah antara dua alam sejak dari waktu kematian seseorang sehinggalah dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh atau alam kubur. Alam kubur juga merupakan tempat permulaan seorang manusia itu dihukum segala amalannya semasa hidup di dunia ini. firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 62:

Maksudnya : " Kemudian mereka dikembalikan kepada Allah Pengawas mereka yang sebenar. Ketahuilah, bagi Allah jualah kuasa menetapkan hukum dan Dialah secepat-cepat Penghitung.

Ketika berada di alam kubur seseorang itu dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras)."

Bagi orang yang beriman kehidupan mereka di alam kubur dipenuhi dengan segala macam kenikmatan kurniaan Allah SWT. Sebaliknya bagi orang yang syirik, kufur dan ingkar terhadap suruhan dan perintah Allah sudah pasti seksaan dan azab kubur diterima sebagai tanda hukuman yang akan diterima di hari akhirat. Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi berkata, “ setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Siapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah.

Sesungguhnya nikmat dan azab kubur adalah sesuatu yang wajib kita percayai dan yakini kewujudannya kerana ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memerintahkan kita agar sentiasa memohon pelindungan daripada Allah SWT dari azab kubur sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyuruh para sahabat agar mengamalkan doa seperti berikut:

Bermaksud: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku mohon berlindung dari azab api neraka dan aku mohon berlindung dari azab kubur.”(Riwayat Muslim)

Kita wajib berlindung diri dari azab kubur, kerana alam kubur merupakan persinggahan sementara untuk kehidupan selanjutnya. Jika di alam kubur kita mendapat kenikmatan, itulah tanda bahawa kita akan mendapat kemudahan dan kebahagiaan di alam akhirat nanti. Sebaliknya, apabila mendapat azab kubur, itulah petanda bahawa orang tersebut akan mendapat kesulitan di akhirat sebagaimana Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu, adalah singgahan pertama ke akhirat, sekiranya yang singgah itu terselamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih mudah lagi. Dan jika tidak selamat, maka perjalanan selepas daripada itu lebih sukar lagi.” (Riwayat at-Tirmizi)

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah.

Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar, ramai umat manusia pada hari ini melupai tentang hakikat sebenar kehidupan dengan gagal mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Ramai daripada kita leka dengan kehidupan dunia. Jika ada di kalangan kita yang mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa tanpa merasa takut dan gentar akan kedasyatan azab alam kubur ini. Mengapa ini berlaku, hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.

Ingatlah bahawa jalan Allah SWT tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan dan kesucian hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan melaksanakan beberapa perkara seperti berikut: Pertama: Gunakanlah masa yang berkualiti ini dengan sentiasa membaca al-Quran dan berzikir.Kedua: Bersikap tawaduk dan sentiasa merendah diri di hadapan Allah SWT. Ketiga: Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Keempat: Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan. Kelima: Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. Rasulullah SAW bersabda:

Bermaksud: “Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian” (Riwayat Muslim)

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghitung diri kita, bagaimana nasib kita di alam kubur nanti, adakah kita sebahagian dari umat yang akan dirahmati atau akan di azab oleh Allah SWT. Renungilah kehidupan kita selama ini, adakah kita sudah bersedia untuk meninggalkan alam dunia ini, bagaimana dengan amalan kita? adakah sudah mencukupi untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

Maksudnya: " Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! . "

Friday, January 28, 2011

SHARING IS LOVING - “NASIHAT UNTUK PARA SUAMI” - Khutbah Jumaat - 28 JANUARI 2011


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah kita  mempertingkatkan rasa  gerun, takut dan waspada kita kepada Allah  SWT. Marilah juga kita mempertingkatkan rasa kehambaan dan kecintaan kita kepada 
Allah SWT. Tuhan Rabbul ‘Alamin.


Penentu kepada kebahagiaan sesebuah  rumahtangga  sebahagian besarnya terletak di tangan suami.  Suamilah yang menentukan hala tuju dan masa depan  rumahtangga. suamilah yang mencorakkan didikan dan pentarbiyyahan yang hendak diterapkan kepada isteri dan anak-anak. Baik atau tidak  baiknya pengurusan sesebuah  rumahtangga terletak  di bahu suami.  Jika suami baik dan bertangggungjawab akan baiklah keluarga tersebut. Tetapi jika suami alpa dan lalai dengan tanggungjawabnya, maka akan terabai dan porak perandalah rumahtangganya. 


Statistik keruntuhan rumahtangga di kalangan pasangan Islam di Malaysia saban tahun sangat membimbangkan. Tahun 2007 sebagai contoh menyaksikan jumlah perkahwinan yang dilangsungkan ialah sebanyak 131,086 pasangan, 
namun jumlah perceraian pada tahun yang sama turut meningkat kepada 20,529 pasangan.   Ini menunjukkan setiap enam perkahwinan berlaku satu perceraian. 

Di negeri Selangor pula bagi tahun 2009 jumlah perkahwinan ialah 17,299 pasangan.  Manakala jumlah perceraian  ialah 4,560 pasangan.  Terdapat dua faktor utama yang membawa kepada keruntuhan dan kegagalan sesebuah rumahtangga iaitu faktor dalaman dan luaran. Khutbah Jumaat 28 Januari 2011: Nasihat Untuk Para Suami


Faktor dalaman ialah:
Pertama - Faktor kelemahan kepimpinan suami 
Kedua - Faktor kelemahan peranan isteri dalam mengurus
rumahtangga.


Manakala faktor luaran pula ialah:
Pertama  - Faktor ekonomi yang menyebabkan kesempitan hidup. 
Kedua  - Faktor tekanan kerja 
Ketiga  - Faktor campurtangan keluarga dan orang ketiga.


Sidang Jumaat yang dihormati, 

Islam sangat mengambil berat mengenai berbuat  baik kepada isteri. Rasulullah s.a.w. dalam wasiat terakhirnya dalam  Haji  Perpisahan turut menyentuh kepentingan berbuat baik kepada wanita dan isteri. Imam An-Nawawi sendiri turut meletakkan satu bab dalam kitabnya  Riyadhus-Solihin yang mengumpulkan koleksi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyeru kepada berbuat baik kepada kaum wanita. 

Isteri atau wanita dijadikan Allah dengan fizikal dan emosi yang lemah. Fizikal dan emosi yang lemah tidak bermakna akal mereka turut lemah. Kemampuan akal fikiran mereka kadangkala jauh lebih baik daripada lelaki tetapi  dari sudut emosi dan perasaan, mereka mudah terguris dan terluka. OIeh sebab  itu, suami yang  baik harus  memahami dan menyelami perasaan dan emosi  isterinya. 

Pengetahuan mengenai sifat dan sikap wanita, kelemahan dan kekurangan mereka perlu diketahui dengan sebaiknya bagi mewujudkan perasaan  toleransidan  hormat-menghormati antara satu sama  lain. Perhatikanlah Hadith
Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan sikap yang perlu ada pada para suami  dalam menangani kekurangan dan kelemahan wanita sebagaimana sabdanya : 

"Terimalah wasiat ini yang aku  wasiatkan kepada kamu  iaitu berbuat  baiklahkepada wanita kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok pada rusuk ialah pada bahagian atas-Nya. Jika engkau hendak meluruskan bahagian yang bengkok itu maka nescaya engkau akan mematahkannya, tetapi jika engkau membiarkannya, maka ia akan sentiasa bengkok, maka berbuat baiklah kepada wanita". 


Tulang rusuk yang bengkok yang dinyatakan dalam Hadith tersebut  menggambarkan kekurangan wanita yang harus  diterima dengan hati yang redha.  Tetapi ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mempunyai kekurangan atau  kelemahan.  Apa yang dimaksudkan daripada Hadith ini ialah suami yang  baik ialah suami yang boleh menerima kekurangan yang ada pada isterinya.  Jika  suami boleh menerima kekurangan dan kelemahan isteri dan isteri boleh menerima kekurangan suaminya, maka akan bahagialah rumahtangga tersebut. 


Jika seorang suami hendakkan kesempurnaan pada isterinya maka sudah pasti  dia tidak akan menemuinya, walaupun bilangan isterinya bertambah atau silih berganti. Para suami sama sekali tidak akan dapat menemui isteri yang mampu  taat kepadanya dan mendengar kata-katanya seratus peratus tanpa ada perasaan  tidak puas hati atau bangkangan. Namun kekurangan tersebut harus  dilihat secara positif sebagaimana Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 19 : 

“Dan bergaullah  kamu dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara  yang  baik.  Kemudian jika kamu  (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh  jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada  apa yang  kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)”.


Sidang Jumaat yang dikasihi,

Contoh yang terdekat yang pernah berlaku mengenai kisah seorang wanita  yang melecur muka dan belakang badannya akibat disimbah cuka getah oIeh suaminya yang berang apabila  keinginannya untuk melakukan hubungan  kelamin ditolak. Sesungguhnya Islam melarang sama sekali deraan dan siksaan kepada isteri sama ada deraan fizikal atau pun emosi. Sebarang ketidak puasan oIeh suami terhadap isterinya tidak harus disalurkan melalui siksaan fizikal atau  emosi.  Rasulullah s.a.w.  pernah menasihatkan suami yang memukul isterinya  dengan sabdanya:

"Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya  seperti memukul hamba kerana pada akhirnya dia akan menidurinya juga". 

Sidang Jumaat yang dikasihi,


Hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri telah digariskan oIeh  Rasulullah  s.a.w.  dalam banyak hadith-hadithnya.  Ketika mana  Rasululladitanya oIeh Mu’awiyah bin Haydah mengenai hak isteri yang tertanggung ke 
atas suaminya. Rasulullah s.a.w. menjawab:

"Kamu memberi makan kepadanya jika kamu makan dan mengadakan  baginya pakaian jika kamu memakai pakaian dan jangan sekali-kali memukul muka dan jangan menghina dan jangan mengasingkan diri daripada tempat tidur  isterinya untuk tujuan pengajaran melainkan di rumah". 


Hadith ini jelas merupakan panduan  terbaik bagi para suami dalam memimpin bahtera perkahwinan mereka.  Makanan dan pakaian merupakan tanggungjawab suami yang perlu diberikan kepada isteri.  Malah dalam satu  riwayat yang  lain sepotong makanan yang disuapkan  ke mulut isteri turut  diberikan  ganjaran pahala oIeh Allah  SWT.  Hadith ini turut menjelaskan mengenai tegahan  Rasulullah s.a.w. daripada memukul isterinya  di bahagian  muka.  Ini adalah kerana bahagian muka adalah lambang kepada kemuliaan dan kehormatan selain daripada gambaran kecantikan seorang wanita.  Larangan  memukul bahagian muka tidak terhad kepada kaum wanita sahaja tetapi turutmerangkumi semua golongan lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang tua. Sikap menghina, mencerca dan mengeluarkan perkataan keji di antara  suami dan isteri serta kaum keluarga mereka adalah ditegah dan dilarang oIeh  Islam. 

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Rasulullah s.a.w. merupakan model  terbaik bagi para suami dalam memimpin  bahtera  rumahtangga. Malah  Rasulullah s.a.w. sendiri menyifatkan Baginda adalah orang yang paling  baik terhadap kaum keluarganya sebagaimana  Sabdanya yang bermaksud : 

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan  aku sebaik-baik orang terhadap keluargaku”. 
(Riwayat At-Tirmizi


Malangnya amat mendukacitakan  apabila ada segelintir individu tertentu  yang baik terhadap rakan-rakan dan sahabat-handainya, tetapi zalim dan buruk akhlaknya terhadap kaum keluarganya sendiri. Untuk   mengembalikan keharmonian dan kebahagiaan  rumahtangga,  setiap pasangan mestilah  bermuhasabah diri terhadap tanggungjawab dan 
kewajipan masing-masing.  Setiap orang dari pasangan harus berlapang dada  untuk menerima kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka.

Bagi suami segala sifat buruk seperti panas baran, ego , suka mengungkit-ungkit, kaki  pukul dan seumpamanya harus dibuang dari diri mereka.  Jika sifat-sifat buruk ini tidak dibuang maka sudah tentu keharmonian rumahtangga tidak akan tercapai.  Harus diingat, kehidupan  berumahtangga ibarat kapal kecil di tengah lautan, sentiasa dilambung ombak dalam cuaca yang tidak menentu. Dalam hal  ini, suami yang diibaratkan sebagai nakhoda  sepatutnyalah yang menentukan  selamat atau tidak pelayaran kapal tersebut. Keluarga yang harmoni akan mendatangkan keamanan kepada  masyarakat, manakala masyarakat yang  baik, akan mendatangkan kemajuan kepada negara. 

"Dan antara tanda-tanda  (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya  kamu hidup bahagia dengannya, dan dijadikan-Nya  antara kamu  (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan kasihan belas.  Sesungguhnya yang demikian itu  mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang  yang berfikir"

-Sumber JAIS