Tuesday, February 1, 2011

SHARING IS LOVING - BERGEMBIRALAH DENGAN AL FATIHAH


Assalamualaikum..ilmu yang di ambil dari website ustaz Amal ...Peringatan buat diri ..terasa begitu kurangnya pengetahuan bila membaca ilmu dari Ustaz Amal ini...Moga ALLAH memberi ganjaran yang sebaiknya kepada ustaz Amal atas perkongsiannya buat diri Cinta yang kekurangan ini..Amin Ya ALLAH 

Marilah bergembira dengan kegembiraan Rasulullah SAW.
Marilah bergembira bersama Rasulullah SAW.
Apakah perkara yang membuatkan Rasulullah rasa gembira?
Jawabnya, banyaklah faktor yang menggembirakan hati baginda SAW.

Yang kita ingin sebutkan di sini bahawa di antara kegembiraan Rasulullah SAW ialah kerana nuzulnya surah Al Fatihah.

Nuzulnya surah yang juga dinamakan Thab’ul Mathani, Ummul Kitab dan Fatihatul Kitab.

Bukan sahaja gembira, bahkan baginda rasa bahagia, senang dan terhibur. (Hidangan Al Quran: Dr ‘A-idh Abdullah Al Qarni)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id bin Abi Al Mu’alla, beliau menceritakan: “Ketika aku sedang solat di dalam masjid, Rasulullah SAW memanggilku, namun aku tidak menjawabnya. Setelah selesai (solat) aku pun mengadapnya dan berkata: “Wahai Rasulallah, waktu Engkau memanggil aku (tadi) aku sedang melakukan solat.” Maka rasulullah berkata: “Bukankah Allah telah berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada sesuatu yang memberikan kehidupan kepada kamu.” (Al Anfal: 24). 

Kemudian Rasululah SAW melanjutkan sabdanya: “Sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu, surah yang paling agung yang telah diwahyukan kepadaku sebelum kamu keluar daripada masjid. Manakala Abu Sa’id hampir keluar dari masjid, rasulullah SAW mengajarkannya surah Al Fatihah.” (Riwayat Al Bukhari). Bagaimana? Gembirakah kita dengan kegembiraan Rasulullah SAW itu?

Sepatutnya begitu. Di antara tanda kesempurnaan iman terhadap Nabi SAW ialah kita hendaklah bergembira dengan apa yang baginda rasa gembira. Tak begitu? Ya, sepatutnya kita juga rasa gembira. Namun, realitinya ada orang yang tidak rasa gembira. Di kalangan umat Islam, kelihatannya ramai yang tidak bergembira dengan kegembiraan Nabi SAW ini. Apa buktinya?

Ini dilihat daripada sikap mereka yang tidak serius dan tidak bersungguh-sungguh untuk mempelajari surah Al Fatihah yang agung ini bahkan ianya telah disyariatkan allah kepada kita supaya membaca dan mengulangi di dalam solat fardhu lima waktu.

Hari ini, ramai orang yang solat dengan bacaan Al Fatihah yang teruk kerana kerana jahil mengenai makhraj huruf dan segala hukum berkaitan ilmu Tajwid. Lalu, banyak sekali kesalahan-kesalahan yang besar dan ketara di dalam bacaan Fatihahnya.

Fikirkanlah. Apa yang akan terjadi bila yang rosak bacaan al Fatihahnya itu seorang imam yang memimpin dan menanggung solat orang ramai? Bukan sahaja solatnya sahaja yang tidak sah bahkan solat sekelian makmumnya juga turut rosak dan tidak diterima.

Inilah masalahnya bila kita tidak mahu bermuhasabah dan memperbaiki diri. Entah malu ataupun ego yang menjadi penghalang kita untuk merendah diri menuntut ilmu, bertanya kepada orang yang lebih mengetahui serta bersifat terbuka dan berlapang dada apabila ada orang yang mahu menegur bacaan dan memperbetulkan kesalahan kita?

Sungguh pelik, apabila kereta kita ada masalah, tahu pula kita menghantarnya ke bengkel untuk dibaiki dengan kadar segera namun apabila bacaan atau pergerakaan dalam solat kita bermasalaah tak mahu pula kita mengadap dan meng’hantar’kan diri kita kepada guru-guru yang boleh membetulkannya. Fikir-fikirkan.

Alangkah peliknya, apabila kita sering meng’update’ lelaman sosial kita di internet serta tak jemu-jemu pula meng’upgrade’ telefon bimbit dan komputer kita, tapi kita bermalas-malas, tidak minat, tidak bermotivasi dan tidak mahu mengupdate dan meng’upgrade’kan pemahaman dan penghayatan ajaran agama kita.

Ya, sikap kita yang tidak mahu (tidak serius dan bersungguh-sungguh) mempelajari surah Al Fatihah, memahami isi pengajarannya, mengelokkan bacaannya dan menghayati hikmah-hikmah menjadi petunjuk jelas yang kita tidak rasa gembira dengan Ummul Kitab ini bahkan tidak mahu berkongsi gembira dengan kegembiraan Rasulullah SAW.
Inikah yang dikatakan keimanan dan kecintaan yang sempurna terhadap Nabi SAW?

Marilah kita bergembira dengan surah Al Fatihah yang mulia ini. Bila kita gembira, bersyukur dan menghayati surah ini, maka bertambahlah kegembiraan Rasulullah SAW.

Ketahuilah bahawa dengan turun surah ini jugalah, maka Iblis meraung dan meratap pilu sekuat hatinya sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Mujahid. Sudah tentu kerana keagungan dan kehebatannya di sisi Allah SWT.



Sumber :  http://www.sahabatamal.com

No comments:

Post a Comment