Saya dan isteri suka bersembang-sembang tentang ketuhanan di dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja. Masa yang ada di dalam kereta lebih kurang 40 minit untuk sampai ke rumah sememangnya menjadi masa kami untuk bercerita sambil meningkatkan kefahaman antara suami isteri tentang hidup berTuhan.
Semalam saya dan isteri berbual tentang apa yang mak saudara saya katakan iaitu “seandainya kita ada sesuatu yang ingin diberi pada seseorang, kita mesti memberinya. Kalau tidak, pasti akan terbiar.”
Jika makanan yang kita ingin berikan, berilah makanan itu. Jika tidak beri, pasti makanan itu akan terbuang begitu saja. Yang menanggung pembaziran adalah kita sendiri.
Jika wang yang kita ingin berikan, berilah wang itu. Jika tidak, pasti Allah menarik kembali rezeki tu.
Mungkin tiba-tiba kena saman kereta. Mungkin tiba-tiba kereta rosak. Mungkin ada sesuatu yang kita terpaksa mengeluarkan wang namun kita tidak mendapat apa-apa hasil dari wang itu. Mungkin juga Allah berikan rasa terlalu cepat wang habis bulan itu.
Jika kita memberi apa yang kita niatkan, kita mungkin TIDAK ditambahkan rezeki oleh Allah SWT. NAMUN akan DIKEKALKAN nikmat yang lain.
Dikekalkan terus rasa bahagia. Dikekalkan kasih sayang anak-anak, suami/isteri, adik beradik atau sahabat. Dikekalkan terus keberkatan rezeki yang sedia ada. Dikekalkan terus oleh Allah kesihatan dan sebagainya.
Rahmat Allah SWT itu sangat luas. Jika Allah SWT tidak membalas perbuatan baik kita dengan balasan yang sama, tapi pasti ada balasan atau ganjaran Allah SWT dalam bentuk yang lain.
Namun kita hambaNya sering melihat rahmat Allah SWT itu mengikut apa yang kita inginkan. A di balas dengan berganda-ganda A. B di balas dengan lebih banyak B.
Jika duit yang kita sedekahkan, kita mengharapkan mendapat duit yang lebih banyak. Jika pertolongan yang kita berikan pada seseorang, kita mengharapkan orang lain juga menolong kita suatu masa nanti.
Kita tidak melihat rahmat Allah yang lain yang sentiasa kita terima. Rahmat Allah tidak semestinya pemberian baru. Tetapi mengekalkan kebahagiaan, kesihatan, keperluan dan sebagainya merupakan rahmat Allah SWT juga.
Inilah perkara yang kami perbualkan sepanjang perjalanan pulang ke rumah semalam. Alhamdulillah, ia benar-benar membuatkan kami berdua, suami isteri sentiasa sujud bersyukur, berterima kasih pada Allah SWT.
Walaupun apa yang kami inginkan tidak dimakbulkan dalam masa-masa tertentu, namun kami tetap bahagia kerana memahami aturan Allah SWT.
Terima kasih ya Allah, terima kasih.
Sumber : http://www.fuadlatip.com
No comments:
Post a Comment