Wednesday, March 9, 2011

SHARING IS LOVING - Ukhtiku Sayang


Bismillahirrahmaanirrahiim..

Ya ukhti,
masihkah tersimpan memori lalu pada dirimu,
saat ibumu mengandungkanmu 9 bulan 10 hari,
terkial-kial bergerak ke sana ke mari,
mengorbankan nikmat keseronokan dunia,
buat sementara demi ukhti,
tekak loya langsung dipeduli,
mual lelah semua ditempuhi,
hati dicekal,
perut yang semakin membesar diusung dengan sarat,
tidak berbahagi kasihnya pada ukhti.

Ya ukhti,
dirimu ditatang bagai minyak yang penuh,
semua kehendak dituruti,
wang dikorban untuk secebis bahagia,
tawa riangmu tiada taranya,
esak tangismu pahit dirasa,
hidupmu laksana si puteri,
tidak pernah terlintas di hatimu
pengorbanan si ibu,
kerana kasihnya padamu.

Ya ukhti,
dikau makin remaja,
pesan ibu; belajar rajin-rajin anakku,
ingatlah agama dan bangsa,
masih ingatkah dikau?
ya, pada waktu itu mungkin kata-kata itu utuh terpahat di hati.

Ya ukhti,
ibu mendidikmu supaya rajin berdoa,
pakaian mesti dijaga,
jangan biarkan si iblis memasang bendera,
ketawa berdekah-dekah tatkala dikau meningkat dewasa,
kerna ukhti membuka pintu-pintu zina,
menyerah segalanya buat tatapan si jantan,
ah! peduli apa katamu,
aku adalah aku.

Ya ukhti,
dunia dicipta bukanlah untuk dibuat kerosakan di atasnya,
sedarkah dikau tempatmu berpijak?
kubur hanyalah di bawahmu cuma,
maut datang menjemput pada bila-bila masa,
sekali merentap baru dikau sedar!
benar ukhti,
hidup ibarat mimpi, pabila mati baru terjaga.

Ukhtiku sayang,
syurga nan indah untuk dikongsi,
neraka Allah sanggupkah dikau?
engkau bukanlah Rabiatul Adawiyah,
“Ya Allah, andai di neraka itu terletaknya rahmat-Mu, maka Engkau campakkanlah aku ke dalamnya”
cintamu tidak seteguh itu wahai ukhti.

Ukhtiku sayang,
sedarkah dikau umpat fitnah yang dibawamu,
akan kemusnahan yang dibawanya ke dunia,
halalkah daging yang dikau ratah dengan rakus,
tanpa memikirkan apakah saudaramu rela,
apakah Allah redha dengan akhlak burukmu itu,
bangunlah wahai ukhtiku!
Hiduplah dengan cara yang Islam mahu,
bukan dengan caramu yang jengkel.

Wahai ukhtil mahbub,
kukuhnya Islam terletak pada akhlak muslimah solehah,
kuatnya sesebuah negara pada pemudi yang mukminah,
hormatnya sebuah keluarga pada anak gadis yang patuh,
menjulang agama di atas pundaknya,
melerai semua pautan nafsu,
menggugah dunia dengan amalnya,
membina kesatuan ummah yang jitu,
kasihnya Nabi padamu,
sehingga hampir wafat disebut-sebut namamu,
dinyatakan kekhuatiran yang merunsing hati baginda,
Jagalah! Wanita..

Ukhtiku,
sayang dirimu alpa,
saham yang kaubawa bersama-sama pemergian ibu bapa,
menempah neraka buat mereka,
kasihanilah ibu bapamu,
mana mungkin engkau membalas jasa orang tua,
mengandung, melahirkan, membesarkan,
melindungi, mengerah tenaga,
lencun baju kerana sesuap nasi,
merecik peluh di dahi tidak dihirau,
kerana dirimu ukhti,

Ukhtiku,
kekadang tekejut akan dirimu,
bagaikan kacang lupakan kulit,
hati ibu bagai dihiris sembilu,
suaramu bagaikan guruh yang merentap jiwa,
apa salah ibumu?
Namun, kekecewaan yang singgah dipendam cuma,
si iblis bertepuk bangga,
“fa laa taqullahumaa uffin walaa tanharhumaa wa qullahumaa qoulan kariima”
lupa lagi!

Ukhtiku,
Wanita itu bukan sekadar tubuhnya cantik,
suaranya manja,
matanya menggoda,
kerana semua itu pakaian wanita jahiliah,
kerna bangga dan takabur,
lupa pada Penjagannya,
Sang Pencipta menyayanginya,
tetapi dihempaskan kalimah cinta daripada Tuhannya kerna sibuk meladeni nafsu dunia.

Wanita, bukan kaca,
tetapi kilauan mutiara,
carinya dijejak dalam lautan,
gadainya sukar dilepaskan,
simpannya dalam kotak kalbu,
letaknya bukan untuk dijijak,
tapi untuk disemat, dipahat, dilentur dengan acuan Quran,
disuci dengan sunnah,
disayangi seluruh makhluk,
andai malu menjadi penghias diri,
andai alpa tidak selubung kotak akal..

Wallahu a’alam bissowaab..


No comments:

Post a Comment