Wednesday, December 29, 2010

SHARING IS LOVING - Istiqamah Dalam Menghambakan Diri PadaNYA


ADAKALANYA fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.

Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini. Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi.

Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.
Jalan Meraih Ketenangan

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam.

Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.
Menjadikan Al-Quran Sebagai wirid

Islam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini. Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid.

Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.

Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri’ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami.

Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya.
Menyelami Kitab-kitab Ahli Hikmah

Para ulama juga menyarankan kita menjadikan bacaan kitab-kitab tasauf sebagai wirid. Hendaklah kita perkemaskan renangan kita di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman bermesra pada waktu pagi dan petang, dan pegangan dalam semua keadaan.

Taklifkan diri kita beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. Insya-Allah, hati kita akan menjadi lembut dan berasa lebih tenang menghadapi apa jua keadaan.
Istiqamah Dalam Perhambaan

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun kita tidak sepatutnya dikalahkan oleh kesalahan yang kita lakukan hingga bersikap pesimis dan berprasangka buruk dengan Tuhan. Kita seharusnya ingat bahawa setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya.

Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi: “Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu”

Kita tidak seharusnya merasa putus asa daripada beristiqamah bersama Allah apabila terlanjur melakukan dosa. Dengan bersikap sedemikian, hanya akan menjadikan dosa kita lebih besar.

Istiqamah bermaksud sama keadaan dalam ubudiah terhadap Tuhan. Dosa tidak menyekat seseorang hamba itu daripada terus istiqamah dalam perhambaannya kerana seseorang hamba itu tidak dapat lari daripada takdir yang telah ditulis baginya.

Cuma, perkara yang menghalang seseorang daripada istiqamah ialah jika dia berterusan melakukan dosa tersebut. Malah bertekad untuk mengulanginya. Menginsafi hakikat ini, maka wajiblah hamba tersebut segera bertaubat kerana berkemungkinan ia adalah dosa terakhir yang ditakdirkan baginya.

Kadang kala kesalahan itu juga merupakan suatu rahmat dan peringatan buat kita yang sedang lalai atau leka. Apabila kita terjatuh, maka kita akan lebih berusaha untuk bangun dan maju ke hadapan. Setelah itu, kita dapati ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Perhatikan, telah berapa banyak perkara sebegini terjadi kepada orang yang pernah melakukan dosa besar. Sebelumnya mereka adalah seorang pencuri, tetapi kemudian menjadi orang yang mulia. Di antara mereka ialah tokoh sufi yang terkenal, Ibrahim Ibnu Adham. Beliau bertaubat setelah mendengar suatu bisikan ketika sedang berburu. Setelah itu beliau sering berdoa dengan doanya:“Ya Allah! Pindahkanlah aku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan.”

Begitu juga Fudhail Ibnu ‘Iyadh r.a yang asalnya seorang penyamun. Sebelum bertaubat, dia begitu berminat dengan seorang jariah. Pada suatu hari, ketika memanjat dinding rumah jariah itu, dia mendengar suara orang yang sedang mengalunkan ayat 16 surah al-Hadid.

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu’ hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.

Selepas mendengar ayat itu datang keinsafan di dalam hatinya sehingga hari ini kita mengenalinya sebagai seorang ahli sufi yang terkenal. Justeru, jadikanlah mereka sebagai model yang boleh membuka minda dan hati kita untuk bersangka baik dengan Allah.Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah. Di antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Zumar : 53)

Allah SWT juga berfirman :

"Dan tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat." (Al-Hijr: 56).

Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah SWT juga berfirman :

"Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir."

Sabda Rasulullah SAW :
“Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat daripada dosanya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi mereka yang sentiasa mensucikan dirinya”.

Maka marilah kita, sebagai hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan kesalahan berazam tidak sekali-kali berputus asa daripada berusaha dan kekal beristiqamah pada jalan ‘ubudiah walau betapa perit dirasakan melalui jalan yang satu ini.

Sumber : Murabbi Dot Net

No comments:

Post a Comment