Sunday, December 26, 2010

SHARING IS LOVING - Bukan Semua Keinginan Kita Allah Bagi


Assalamualaikum...Satu artikel dari laman web iluvislam...satu perkongsian yang saya rasakan sangat baik untuk kita hayati dan menjadi Panduan dan pengajaran ...serta memberi kekuatan pada kita ,hamba2 ALLAH yang lemah ini....kawan2 boleh layari laman web ini di http://www.iluvislam.com untuk mendapat ilmu2...MAY ALLAH BLESS US
Dalam banyak-banyak anugerah Allah, anugerah keluargalah yang paling bermakna dalam diri saya. Saya sayang mak dan arwah abah kerana redha Allah ke atas saya bergantung ke atas redha mereka terhadap saya. Saya amat sayang kerana isteri saya kerana beliaulah yang sentiasa bersama saya, menjadi tulang belakang ketika susah dan senang. Saya juga terlalu sayang dengan anak-anak saya, kerana mereka adalah pelaburan tetap saya untuk hari akhirat. Mereka jugalah penghibur hati saya ketika duka.
Selepas berkahwin, saya tidak pernah hidup terlalu berjauhan dalam tempoh masa yang lama dengan keluarga. Paling lama pun, ialah ketika isteri menghadiri kursus BTN. Hanya Allah sahaja yang tahu dalam tempoh 5 hari tersebut, betapa rindunya Raed yang ketika itu berumur setahun setengah terhadap mamanya. Selepas itu, tidak pernah kami tinggal berjauhan. Walaupun saya kadang-kadang sibuk setiap hujung minggu memenuhi jemputan di sana sini, akan tetapi akan pulang juga bersama keluarga.
Setelah hampir 5 tahun nikmat itu Allah pinjamkan kepada kami sekeluarga, saya sedar akan tiba suatu hari nanti Allah akan uji kami dengan menarik seketika nikmat tersebut. Dan itulah yang berlaku sekarang. Atas sebab rasmi, secara mengejut kini saya hidup dalam episod bercinta antara benua.
Saya dan anak-anak lelaki terpaksa pulang ke tanah air, sementara isteri dan baby Sofea akan akan terus berada di UK sehinggalah tamat research beliau. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas dan drastik. Hari ini dapat pasport, esoknya beli tiket, lusanya terbang, tulatnya sudah masuk kerja. Siapa yang mahu berpisah dengan keluarga dan anak-anak. Siapa yang mahu menyeksa perasaan diri serta insan tersayang dalam kadar waktu yang pantas dan mengejut.
Beginilah ketetapan Allah. Bukan semua yang kita inginkan, akan diberikan oleh Allah SWT. Sekadar peringatan dan penawar kepada hati yang masih berduka ini, di celah kesibukan menjadi 'bapa tunggal' berkarier, saya nukilkan warkah peringatan ini khususnya untuk diri kami sekeluarga.
Mengapa Allah uji kita, dengan menahan seketika kehendak peribadi kita?
1. Mungkin ini sebagai kaffarah dosa untuk diri kita.
Semua kita, tidak kiralah sama ada yang bergelar ustaz ustazah atau pun tidak, adalah berhadapan dengan risiko melakukan dosa. Ketebalan iman seseorang boleh dirobek dengan walau dengan sekelumit kealpaan. Beruntunglah bagi yang segera bertaubat dan berisghfar setelah melakukan dosa. Dalam pada itu, insaflah betapa luasnya rahmat Allah kepada kita, sehinggakan disediakan sebab dosa-dosa itu boleh diampunkan, iaitu dengan kaffarah melalui ujian dan penderitaan. Sabda nabi Muhammad SAW dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Tiadalah muslim yang ditimpa cubaan seperti sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah akan dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.
2. Tercatat dalam ketetapan Allah dan terbukti jua di dalam sejarah, bahawa keluarga yang baik biasanya akan menerima ujian yang besar.
Seolah-olah, ujian penderitaan adalah prasyaratnya. Kisah yang berlaku antara nabi Ibrahim, isterinya Hajar serta puteranya nabi Ismail telah melahirkan daripada keturunan mereka manusia yang hebat, yang terulung sekali ialah nabi Muhammad SAW.
Saya dan keluarga hanya diuji barangkali setengah tahun sahaja, di dalam dunia yang sudah dilengkapi dengan prasarana komunikasi yang hebat. Setiap malam, kita boleh sahaja berhubung melalui video conference. Semua ini masih belum wujud lagi semasa zaman nabi Ibrahim terpaksa meninggalkan Hajar dan Ismail di kota Bakkah yang kering kontang tanpa penghuni dan sumber alam. Bayangkan, betapa hibanya hati seorang ayah terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya di tempat dan keadaan yang amat ekstrim. Akan tetapi, ketabahan serta kesabaran mengharungi ujian, melayakkan mereka semua mendapat inayah dan bantuan Allah. Ketabahan mereka berhadapan dengan ujian hebat, akhirnya melahirkan generasi yang hebat.
3. Siapa yang tidak sedih menerima ujian ini. Akan tetapi perlu dididik dan dilentur hati kita, bahawa ujian yang Allah beri sekarang ini hanyalah sedikit sahaja berbanding ujian orang lain.
Apalah sangat ujian hidup cinta antara benua ini, berbanding dengan mereka yang diuji dengan kehilangan insan tersayang. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding ujian ibu, ayah dan anak-anak Palestin khususnya di Genting Gaza. Apalah sangat ujian kita ini, berbanding nasib ramai umat Islam yang menjadi mangsa diskriminasi diktator manusia di seluruh dunia. Sehinggakan terpisah tanpa khabar berita, berjumpa tidak pernah, bertemu berharap tak usah.
Sedih memanglah sedih. Akan tetapi buat apa perlu melayan kesedihan itu secara berlebihan. Sedangkan banyak lagi nikmat kesenangan (yang sepatutnya perlu dibaca sebagai ujian) berlegar di sekitar kita. Dalam masa yang sama, ramai lagi yang lebih menderita tetapi tabah di dalam diuji Allah.
Ya Allah, bantulah keluarga kami. Permudahkanlan urusan kami. Permudahkanlah anak-anak kami menerima perubahan drastik yang mencabar ini. Murahkanlah rezeki kami. Kurniakanlah daripada isteri dan anak-anakku, penyejuk mata, dan jadikanlah mereka generasi imam yang bertaqwa. Amin Ya Rabbal Alamin.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada sanak saudara dan rakan taulan yang membantu dan memahami ujian kami ini.

No comments:

Post a Comment