Sunday, August 8, 2010

SHARING IS LOVING - TIP-TIP MUDAH KEMBALI KEPADA FITRAH - BY http://www.fuadlatip.com


Beberapa hari lagi, kita akan masuk Bulan Ramadhan. Bagi saya bulan ini adalah bulan latihan agar diri kita yang sedar ini akan kembali kepada fitrah.

Saban tahun kita mencuba untuk benar-benar dapat kembali kepada fitrah. Berpuluh-puluh tahun kita menyambut ramadhan dengan cukup bilangan puasanya. Namun sejauh mana bulan yang penuh kasih sayang Allah SWT dengan keampunanNya mampu benar-benar menjadikan kita hamba yang bertaqwa. Hamba yang bertaqwa itu mudah iaitu mengikut kehendak Allah atau dengan nama lain berserah. Kembali kepada fitrah itu adalah kembali kepada sifat sebenar diri kita..sentiasa ingin dekat dengan Allah SWT.
BERSERAH BUKAN PASIF. Mereka yang mengatakan berserah itu pasif adalah mereka yang melontarkan persepsi dari fikiran mereka sendiri. Mereka berasakan bahawa mereka memiliki kuasa dan daya sendiri untuk menggerakkan diri mereka sendiri. Bagi mereka, jika berserah kita akan jadi seperti orang malas. Terima sahaja takdir.
Mana mungkin orang yang berserah menjadi pasif sedangkan orang yang berserah mengikut kehendak Allah SWT 100%. Dan mana mungkin Allah SWT tidak menggerakkan hambaNya kerana hambaNya merupakan wakil-wakilNya di dalam mentadbir alam ini. Sudah pasti mereka yang sentiasa mengikut kehendakNya merupakan wakil yang terbaik iaitu sentiasa melakukan seperti apa yang dikehendak olehNya tanpa memprotes apa-apa pun.
Persediaan Ramadhan dan Ketika Ramadhan
Umum mengetahui kita akan tiba ke bulan Ramadhan beberapa hari lagi. Maka bersedialah dari sekarang ini untuk menyambut Ramadhan.
1. Tingkatkan Kesedaran Akan Allah SWT (Kesedaran Tertinggi).
Kuatkan lagi sambung (sedar) ke Allah SWT setiap saat. Ketika berkomunikasi dengan Allah SWT, pastikan benar-benar sedar ke Allh. (Komunikasi dengan Allah SWT banyak diterangkan di Blog ini)
Di dalam solat pula, rasakan benar-benar sedar ke Allah dalam setiap rukun solat tu. Caranya..lamakan dalam setiap rukun kita tu. Benar-benar sambung….diam…kemudian barulah teruskan ke rukun seterusnya. Lakukan terus mulai saat ini.
2.Bacalah Dengan Nama Tuhamu Yang Menjadikan Semua Makhluk.
‘Bacalah’ termasuk mengetahui, memahami, analisis, sintesis etc. Di dalam membuat pilihan, sudah pasti kita akan cuba memahami, mengetahui, menganalisis etc.
Setiap hal dalam kehidupan ini merupakan pilihan. Tidak ada satu pun yang tiada pilihan. Ambil dalam hal makan pun sudah cukup.
Nak berbuka di mana, dengan siapa, makan apa hari ini, masak ke beli, nak beli di mana…..etc..
Semuanya pilihan. Lalu setiap membuat pilihan, tanya Allah SWT dengan sungguh-sungguh. Mesti sungguh-sungguh iaitu ketika tanya Allah SWT, sedar benar-benar akan Allah SWT.
Lakukan segala aktiviti kita dengan nama Tuhan…Allah SWT. Kita juga diminta untuk membaca bismillah iaitu mengatasnamakan Allah SWT kerana setiap apa yang kita lakukan adalah mengikut kehendakNya. Kita ini adalah wakil Allah SWT di dalam mentadbir alam ini.
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.(QS: Al Ankabut, 29:69 )
3. Kenal Nafsu Baru Mudah Mengawal Nafsu.
Nafsu itu adalah keinginan.Ia terletak di fikiran. Banyak fikir, lagi banyak nafsu. Makanya nanti kalau pergi pasar ramadhan, siapkan dulu plan nak makan apa sebelum pergi. Beli ala kadar.
Plan tidak semestinya ditulis. Cukup di dalam kepala. Tapi jangan mereka-reka ingin makan itu ini.
Jika tiada plan, tunggu sampai di pasar ramadhan dan ingin lihat apa yang ada di pasar ramadhan baru nak beli….pasti membazir. Benar…cubalah.
Angkat kesedaran ketika ini bahawa rasa nak makan itu ini adalah sebenarnya kehendak nafsu. Tekad selepas beli sekadarnya, terus balik.
Tak perlu pusing habis satu pasar ramadhan. Nanti makin pusing…makin banyak fikir…makin banyak nafsu.
Tekad benar-benar. Sedar yang inginkan semua ini adalah JASADKU bukan AKU. Jasadku selalu membawa aku jauh daripada fitrah. Lalu kuatkan kesedaran ini….kerana yang SEDAR inilah AKU yang sebenar.
Ketika sudah membeli yang secukupnya, mintalah pada Allah jika ada rasa ingin makan yang lain-lain lagi.
“Ya Allah…aku teringin makan mee goreng pula ya Allah. Ya Allah…bantu aku ya Allah…bantu aku. Semua ini kehendak jasadku ya Allah…bukan kehendakku ya Allah. Ya Allah…bantu aku ye ya Allah.”
4.Solat itu Istirehat Fizikal dan Rohani.
Dirikan solat terawih dengan benar-benar istirehat. Yang dikejarkan itu bukan jumlah solatnya tetapi berapa kuat sedar kita ke Allah dengan solat terawih itu.
Lamakan rukuk, sujud…biar benar-benar bertemu (sedar) akan Allah SWT. Pastikan benar-benar bertemu. Pasti manafaatnya terasa. Pasti. Terutama jiwa itu menjadi tenang. Berserah itu juga akan meningkat.
Rohani kita menjadi kuat. Siangnya jasad menjadi lemah. Tetapi kita tetap bertenaga kerana jasad menggunakan daya dari kekuatan rohani. Malamnya jasad beristirehat dengan melakukan solat yang betul dan cukup sempurna tuqmaninahnya.
Rohani terus sedar ke Allah. Lalu jasad dan rohani mencapai tahap sejahtera yang maksimum.
5. Terapi Sedekah.
Sedekah itu perlu mencontohi peristiwa Qabil dan Habil. Syarat sedekah yang sedia maklum sudah tentulah salah satunya dari sumber yang halal. Saya tidak mahu ulas yang ini kerana ini sedia maklum.
Yang saya ingin ulas di sini adalah syarat terbaik ketika melakukan sedekah. Syarat melakukan sedekah:
a. Ikhlas
b. Harta yang kita sayang
Kalau beri duit tu, naikkan nilai sampai ke nilai yang kita sayang. Nilai itulah diberikan sebagai sedekah.
Cth, mula-mula beri RM5…rasa tak kisah..naikkan lagi..RM10..masih tak kisah..naikkan terus..sampai RM30 sebagai cth, rasa sayang nak beri sebab dalam poket ada RM50 je….hah! nilai itulah (RM30) yang diberikan.
Jika rasa tidak ikhlas kerana nilai itu nilai yang kita sayang, SEDAR kan diri kita itu…bahawa kita sedang berlatih untuk TIDAK TERIKAT dengan harta. Dengan sedar begini, inshaAllah perlahan-lahan kita akan redha dengan jumla harta yang diberikan.
“Ya Allah akan sedang berlatih ya Allah. Ikhlaskan aku ya Allah. Aku rela ya Allah..aku rela…terima kasih ya Allah..terima kasih.
6. Membaca Terjemahan Al-Quran.
Ramadhan kali ini cuba memahami Al-Quran menggunakan terjemahan Al-Quran kerana saya yakin setiap Ramadhan yang lepas kita beberapa kali Qatam Al-Quran. Kali ini cuba baca makna seluruh Al-Quran dalam bahasa melaysia memandangkan kita bukanlah hebat di dalam bahasa Al-Quran.
Terjemahan Al-Quran yang dibaca secara terus akan mudah difahami kemudian di tambah dengan tafsir. Jika seperti biasa kita membaca satu ayat…kemudian baca makna..kemudian baca lagi..kemudian baca makna, agak sukar untuk kita memahami setiap surah itu.
Setiap surah itu ada peristiwa dan juga ajaran-ajaran yang Allah SWT berikan. Kali ini dibaca maknanya terus dari awal surah hingga akhir. Tak salah kalau sayakan…macam kita baca novel tu. Baca terus maknanya bermula surah Al-Fatihah sampai ke An-nas.
Pasti saudara semua akan mula perlahan-lahan faham surah-surah yang ada di dalam Al-Quran. Ada banyak cerita sebenarnya yang akan difahami.
7. Kekalkan Kesedaran Tertinggi.
Teruskan komunikasi dengan Allah SWT ketika melakukan aktiviti untuk mengekalkan kesedaran kita pada Allah. Jika tiada aktiviti, diamlah…dan angkat kesedaran terus ke Allah. Panggil Allah SWT dengan perlahan-lahan…ya Allah….ya Allah…
8. Terapi Diri Dengan Syukur.
Bersyukur itu mestilah didahulukan dengan kesedaran bahawa setiap sesuatu adalah atas keinginan dan kehendak Allah SWT.
Makanya, ketika kita bersyukur mendapat rezeki….syukurlah kerana Allah SWT ingin kita ini menerima rezeki. Jika kita diberikan ketenangan..kebahagiaan…syukurlah kerana Allah SWT ingin beri kita ketenangan dan kebahagiaan itu.
Sedarlah hal ini, pasti tahap kesyukuran…iaitu terima kasihnya kita ke Allah SWT akan meningkat dan terus meningkat. Walaupun kita tahu nilainya tidak terjangkau dengan keinginan Allah SWT ke atas diri kita, teruslah ucapkan terima kasih ya Allah..terima kasih.
Akhirnya:
Mudah-mudahan dengan bahasa yang mudah saya ulas hal-hal di atas, kita mampu memiliki apa yang dijanjikan oleh Allah SWT iaitu menjadi insan yang bertaqwa iaitu yang sentiasa sedar ke Allah SWT setiap saat.
Semua di atas adalah sesuatu yang mampu dilakukan setiap orang. Sangat mudah. Saya yakin. Namun hasilnya pasti hebat…lakukan.
Mereka yang sentiasa sedar ke Allah SWT setiap saat, pasti mudah berserah….jiwa tenang…tiada kecewa..tiada sedih…tiada sakit hati..tiada marah…tiada dengki….
Yang ada hanyalah rindu pada Allah SWT….rasa cinta ke Allah…. dan sebenarnya tidak mampu dihuraikan tentang rasa yang akan di miliki. Yang pasti akan menikmati rasa yang tiada rasa. Yang pasti setiap kita akan merasai rasa nyata hidup bertuhan.
Dan semua rasa yang tiada rasa itu….merupakan fitrah diri kita yang sebenar….yang sentiasa ingin berada dekat dengan Yang Maha Pengasih…dan Maha Penyayang.
Kemudian pastinya di sana nanti Allah SWT akan terus menambahkan kasih sayangnya. Ditambahnya rasa bahagia, diperbanyakkan KEBERKATAN rezeki walaupun rezeki tidak bertambah namun jika ia berkat, pasti rezeki itu sangat mencukupi. Bukan untuk kita dan keluarga sahaja, bahkan mampu dikongsi dengan mereka yang memerlukan.
Setelah kita mampu berserah..kembali kepada fitrah, barulah hubungan sesama manusia akan lebih akrab. Kita memohon maaf dan memaafkan dengan penuh ikhlas kerana jiwa-jiwa kita diilhamkan Allah SWT dengan kefahaman bahawa tiada perlunya bersengketa sesama kita kerana kita menyembah Tuhan yang sama….Allah Yang Maha Esa dan kita akan sama-sama akan kembali kepadaNya suatu hari nanti.
Semoga kita semua akan benar-benar kembali kepada fitrah. PASTIKAN YANG BERPUASA ITU ADALAH JASAD DI DALAM MEMUTUSKAN KEHENDAK JASAD (NAFSU) DENGAN APA YANG DIINGINKANNYA (HAWA). Inilah yang dikatakan berpuasa. NAMUN SANG AKU (RUH) TETAP KUAT UTUH SAMBUNG KE ALLAH.
Selamat Berlatih….Salam Ramadhan.
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. (QS: Al-Anfal, 8:29)
Dibenarkan untuk disebarkan. Tidak perlu meminta kebenaran. Sebarkan jika ia bermanafaat.

No comments:

Post a Comment