Sunday, August 8, 2010

SHARING IS LOVING -BERSABAR LAH BILA SAKIT




"untung kalau dapat SAKIT dia sabar"

SETIAP manusia tidak lari daripada ditimpa sakit dan sebagai umat Islam, sewajarnya kita menguatkan jiwa untuk mengharung segala kesakitan dan penderitaan.

Dalam menghadapi penderitaan inilah tersedia ganjaran besar untuk mereka yang terus bersabar dan reda dengan ketentuan Allah.

Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim menyebut: "Sesiapa saja di kalangan umat Islam yang ditimpa kesakitan daripada penyakit, maka tidak ada selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya (dosa kecil) dengan sebabnya seperti mana pokok menggugurkan daunnya."

Dalam sebuah hadis, ada diceritakan bahawa Rasulullah saw bertanya kepada sahabat: "Siapakah di kalangan kamu yang suka sihat tanpa sakit?

Jawab sahabat: "Semua kami." Baginda bertanya lagi: "Adakah kamu suka menjadi seperti keldai liar yang mengganas? Tidakkah kamu suka menjadi orang yang ditimpa bala dan orang yang mendapat penghapusan dosa? Demi diriku di bawah kekuasaan-Nya, sesungguhnya Allah pasti menguji orang mukmin dengan bala dan apa yang diuji itu tidak lain melainkan untuk memuliakannya.”

Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Sesungguhnya, mengerang orang yang sakit itu umpama tasbih, jeritan dan tidurnya adalah ibadah, nafasnya sedekah dan berbalik-balik ke kiri dan kanan itu adalah memerangi musuh, iaitu sama pahalanya."

Dalam Ihya pula ada menyebutkan sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada seorang yang sakit dua malaikat untuk melihat apa yang dikatakannya kepada pengunjungnya.

"Sekiranya dia mengucapkan tahmid dan pujian kepada Allah, Allah berfirman: Bagi hamba-Ku, sekiranya Aku mematikannya, nescaya Aku memasukkannya ke dalam syurga.

Dan sekiranya Aku menyembuhkannya nescaya Aku menggantikan daging badannya yang lebih baik daripada sebelum ini, darah yang lebih baik daripada darahnya serta Aku hapuskan kejahatannya. Kelebihan Allah lebih luas daripada semua itu."..

salam ramadhan..=)

No comments:

Post a Comment