Thursday, March 25, 2010

PERBAIKI SOLAT KITA...AMIN ( VERY INTERESTING)




SOALAN: Sekarang saya berumur 56 tahun. Telah pencen tetapi masih bekerja sendiri. Lebih banyak bergerak dan menggunakan tenaga, berbanding dengan kerja dahulu sebagai seorang ketua pengarah di jabatan kerajaan. Saya cuba sembahyang sebaik mungkin, tetapi kurang berjaya kerana badan saya letih. Lebih banyak berfikir tentang kerja dan kurang sembahyang malam, berbanding dengan saya sebelum pencen.

Kadang-kadang saya hendak sembahyang secepat mungkin. Bagaimanakah saya hendak mengembalikan hubungan saya dengan Allah seperti dahulu?

JAWAPAN:

Dalam usaha mengatasi masalah yang saudara hadapi, banyak perkara perlu difahami dan disedari:

(i) Saudara perlu tahu hakikat khusyuk sembahyang dan keperluannya

(ii) Kurangkan kerja yang boleh menyebabkan badan penat sehingga tidak berupaya menumpukan fikiran ketika sembahyang, termasuk sembahyang malam,

(iii) Ingatkan umur yang semakin tua

(iv) Jangan tinggalkan amalan sunat dan elakkan melakukan perkara-perkara dilarang dalam sembahyang

(v) Ingat bahawa melakukan kerja itu semata-mata kerana Allah. Sama ada kerja di pejabat kerajaan atau sendiri.

Apabila kerja itu dilakukan kerana Allah, ia diperkira ibadah. Setiap ibadah diberi pahala. Kerana itu, apabila sesuatu kerja, dilakukan sehingga terabai ibadah wajib, iaitu ibadah sembahyang, maka ketika itu melakukan kerja-kerja yang dikatakan semata-mata kerana Allah menjadi satu persoalan.

Oleh kerana kerja itu ibadah, maka urusan kerja itu tidak boleh dicampuradukkan dengan amalan mungkar, seperti pecah amanah, rasuah, menipu dan sebagainya.

Orang yang terlalu asyik bekerja, biarpun dikatakan kerana Allah, untuk menyara diri, anak dan isteri juga seluruh keluarga, tetapi apabila kerja itu menyebabkan terabainya ibadah, maka di situlah kelihatan bagaimana nafsu itu menguasai pemikiran seseorang, lalu akhirnya individu berkenaan terus leka bekerja, terus bermesyuarat biarpun waktu sembahyang telah tiba lalu akhirnya meninggalkan sembahyang dan sebagainya.

Ketika itu kerja yang dilakukan bukan merupakan ibadah lagi tetapi kerana nafsu, biarpun ia dilakukan di luar kesedaran kerana minat atau sebab-sebab lain.

Ingat bahawa kerja yang kita lakukan antaranya ialah untuk menyara hidup agar hidup ini dalam keadaan selesa, badan sihat, tidak kurang makan, ada tempat tinggal dan sebagainya termasuk pakaian, kereta dan lain-lain lagi.

Jasad yang kita bela itu akhirnya akan pupus, mati dan akan tinggal dalam tanah, menjadi habuan ulat. Begitu juga dengan rumah, kereta dan taman-taman yang mengharum mewangi, segala-galanya akan ditinggalkan, tetapi roh itu dicabut oleh malaikat akan dipersembahkan kepada Allah kekal selama-lamanya dan menerima balasan baik dan jahat, bergantung kepada amalan kita ketika hidup di dunia. Menerima balasan syurga atau neraka bergantung kepada ibadah kita, terutamanya sembahyang.

Kewajipan agama yang mula-mula difardukan oleh Allah terhadap manusia ialah sembahyang. Amalan hamba yang mula-mula sekali akan ditanya pada hari kiamat kelak ialah ibadah sembahyang. Sekiranya sembahyang yang dilakukan itu diterima Allah, maka akan diterimalah seluruh amalannya. Sekiranya tidak, maka tidak diterimalah seluruh amalan hamba berkenaan.

Hal demikian memperlihatkan bahawa sembahyang itu lambang keteguhan iman. Sekiranya sembahyang seseorang itu baik, maka baiklah lain-lain amalannya.

Barang siapa memelihara sembahyang, maka sembahyang itu akan memelihara hamba berkenaan dan akan terpeliharalah agamanya.

Barang siapa mensia-siakan ibadah sembahyang, maka sembahyang itu akan mensia-siakannya. Orang berkenaan tidak akan peduli atau mensia-siakan ibadah-ibadah yang lain.

Mereka yang tidak memperoleh ketenangan daripada sembahyang, bererti mereka tidak akan memperoleh ketenangan dalam jiwanya dalam erti kata sebenar, kerana sembahyang adalah ibadah paling utama dalam usaha memperoleh ketenangan dan tangga mukmin untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Ucapan dalam sembahyang adalah perangsang dalam jiwa untuk membentuk cara berfikir dan bertindak yang akan dipersembahkan atau dipamerkan kepada Allah.

Kerana itu setiap orang yang sembahyang mesti memahami apa yang diucapkan dalam usaha memperoleh khyusuk.

Sembahyang adalah gambaran iman. Sentuhan kasih sayang yang mampu membuka hati, menembusi rahsia zat yang Maha Agung. Ia adalah proses perpindahan jiwa seorang hamba kepada Allah yang menciptanya.

Sembahyang adalah wasilah mensyukuri nikmat Allah dan ikrar ketuhanan. Bermaksud, orang yang meninggalkan, mengabaikan atau memandang ringan sembahyang ialah orang yang mengingkari nikmat Allah.

Khusyuk ialah keadaan jiwa yang tenang. Ia adalah amalan hati. Sekiranya hati khusyuk, maka akan khusyuklah seluruh anggota badan. Gaya laku luaran menggambarkan keadaan batin, iaitu hati. Hati adalah penguasa. Jiwa yang khusyuk, menyebabkan semua anggota tubuh menjadi tawaduk, merangkumi ucapan dan gerakan tubuh.

Khusyuk ketika sembahyang hanya diperoleh oleh orang yang berupaya menumpukan seluruh pengamatan dan keprihatinan kepada Allah. Sembahyang mempengaruhi kehidupan kerana sembahyang adalah tempat atau punca ketenangan jiwa:

i) Melahirkan konsentrasi sepenuhnya kepada Allah

ii) Mempengaruhi jiwa seseorang ketika rohnya berhubung dengan zat Allah. Menghilangkan rasa gelisah, cinta dunia, tekanan resah gelisah dan sebagainya yang akhirnya akan mencetuskan rasa lega, kekuatan dalaman dan sifat qanaah lalu akhirnya menambah rasa yakin dan akhirnya menyebabkan kekuatan roh.

iii) Melahirkan sifat rendah diri, lahir daripada kesedaran terhadap keagungan Allah, mengikis rasa sombong, angkuh, riak dan takbur, juga seluruh sifat jahat berkaitan dengan hati

iv) Melahirkan sifat makrifat hakiki terhadap Allah dan keinginan terus berdampingan dengan-Nya.

v) Menghindarkan diri daripada perbuatan sia-sia, yang boleh menyebabkan seseorang itu terhindar daripada mengingati Allah.

Allah berfirman (surah al-Mukminun: 1-2):

Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam sembahyang.

Setelah sempurna menjadikan Adam, Allah memerintahkan agar para malaikat sujud kepada Adam. Semua malaikat sujud kecuali iblis. Ia enggan kerana merasakan bahawa kejadiannya lebih baik daripada Adam.

Keengganan iblis menyebabkan kemurkaan Allah, lalu ia dihalau daripada syurga dalam kutukan Allah, iblis termasuk dalam golongan kafir. Kemurkaan Allah menyebabkan iblis memusuhi Adam dan keturunannya, kerana Adamlah atau kerana keengganannya sujud kepada Adamlah menyebabkan ia terhalau dari syurga, menjadi hina, dilaknat, dikutuk terputus daripada rahmat Allah dan tidak akan mendapat pertolongan-Nya, yang akhirnya akan dimasukkan dalam neraka. Sejahat-jahat balasan di penghujung kehidupan makhluk Allah.

Dari sinilah iblis bersumpah di mana ia juga konco-konconya akan menipu, mengganggu dan menghasut manusia yang menyebabkan manusia akhirnya tunduk kepada runtunan nafsu.

Merasakan tingkah laku yang salah sebagai budaya hidup harian, manakala amalan yang baik, yang difardukan oleh Allah diabaikan. Iblis juga bersumpah akan menyesatkan manusia kecuali mereka yang ikhlas.

Dalam sebuah hadis Qudsi dijelaskan bahawa iblis akan sentiasa mengganggu dan berusaha untuk menipu manusia sepanjang hidup, sehinggalah roh berpisah daripada jasad, iaitu setelah seseorang itu mati.

Allah menjelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dalam masa yang sama, iblis telah bersumpah untuk menyesatkan manusia, menipu dan mengganggu manusia, keturunan anak Adam.

Kerana itu tidak peliklah sekiranya iblis mengganggu setiap orang agar mengabaikan sembahyang, tidak melakukan sembahyang langsung, leka ketika sembahyang dan sebagainya yang boleh menyebabkan sembahyang seseorang itu tidak sah ataupun tidak diterima Allah, menyebabkan sembahyang yang dilakukan tidak berupaya mencegah pelakunya daripada terlibat dengan kejahatan.

Iblis dan syaitan mengganggu dan memperdaya manusia ketika hendak sembahyang, menyebabkan manusia di antaranya langsung tidak mendirikan sembahyang atau melambat-lambatkan sembahyang.

Ketika berwuduk ditimbulkan rasa waswas, begitu juga ketika memulakan sembahyang, iaitu ketika berniat, ketika membaca Al-Fatihah, ketika sedang sembahyang terutamanya ketika sembahyang berjemaah.

Iblis mendatangkan pelbagai ingatan yang lepas, seperti ketika berada di kampung, di pejabat, ingatan ketika di perjalanan, mengira berapa untung dan rugi yang akan diterima atau yang ditanggung.

Iblis dan syaitan juga berupaya menimbulkan rasa mengantuk, rasa adanya keluar air kencing atau terkentut ketika seseorang itu sedang sembahyang. Semuanya adalah merupakan antara tanda-tanda gangguan iblis dan syaitan ketika sembahyang, menyebabkan seseorang itu tidak ada rasa khusyuk.

Perbezaan bentuk tipu dan helah ini dilakukan bergantung kepada kekuatan roh seseorang.

Saudara bukan golongan orang yang diganggu oleh iblis dan syaitan dalam bentuk yang dijelaskan di atas. Walaupun demikian saudara sebenarnya tertipu melalui nafsu atau kecenderungan bekerja.

Saudara menghabiskan waktu dengan bekerja, memberi seluruh pengamatan menyebabkan badan letih dan kurang tumpuan pada ibadah sembahyang, menyebabkan saudara rasakan tidak ada ruang yang cukup untuk sembahyang.

Apabila rasa letih kerana bekerja seharian itu bersatu dengan rasa tidak selesa melakukan sembahyang, ketika itu saudara akan berasa sembahyang itu seumpama kurang perlu, berbanding dengan kerja yang saudara lakukan sebelum pencen dengan begitu minat dan bertenaga. Ketika itu saudara merasakan bahawa sembahyang itu perlu dilakukan secepat mungkin, menyebabkan rasa khusyuk itu hilang.

Andainya saudara berupaya muhasabah diri dengan mengambil kira kaedah yang saya jelaskan, saudara akan menyedari di mana terletaknya kedudukan saudara sekarang, yang akhirnya saudara berpatah kembali dan melakukan sembahyang dan sembahyang waktu malam seperti yang saudara lakukan sebelum pencen.

Sekiranya tidak, saudara jelasnya termasuk dalam golongan mereka yang terpedaya, tidak berhenti-henti mengejar nikmat dunia.

Sedutan Dari Rencana oleh
Dr. Amran Kasimin
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment