Sunday, May 22, 2011

SHARING IS LOVING - AKIBAT MENCELA ORANG LAIN

 

Daripada Abu Hurairah RA katanya : Rasulullah SAW bersabda : Jika seorang lelaki berkata : Binasalah manusia, maka dialah orang yang paling binasa. ( HR Muslim )

Pengajaran Hadis :

1.      Hadis di atas melarang umat Islam memiliki sifat gemar mencela muslim lain. Ada dua jenis bacaan bagi kalimat ( أهلكهم ) ;  ada yang membaca dengan dhammah (baris depan) huruf kaf-nya ( أَهْلَكُهُمْ) ; dan ada pula yang membacanya dengan fat-hah (baris atas) huruf kaf-nya ( أَهْلَكَهُمْ ). Jika dengan bacaan dhammah maka maknanya : Dialah orang yang paling binasa ; sedangkan dengan bacaan fat-hah maka maknanya : Dialah yang menjadi penyebab mereka binasa. Kedua-dua bacaan tersebut diperbolehkan, namun demikian bacaan dhammah adalah lebih masyhur. Jadi kesimpulannya : Jika seseorang suka menuduh orang lain sesat atau rosak, maka dialah sebenarnya yang menjadi sebab sehingga akhirnya orang yang dituduhnya itu sesat atau rosak, ataupun dialah sebenarnya orang yang lebih sesat atau lebih rosak.

2.      Para Muhaddisin (Pakar Hadis) berkata : Ungkapan diatas adalah dilarang diucapkan hanya terbatas jika tujuan atau motif ungkapan itu untuk merendah-rendahkan atau mencela orang lain sambil mendabik dada kononnya dirinyalah yang paling hebat dan paling betul dengan perasaan riyak dan ‘ujub serta takabbur. Tetapi jika ungkapan itu diucapkan sebagai tanda kesedihan atau keperihatinan dengan suasana yang melanda dirinya, bangsa atau Negaranya, disebabkan oleh keadaan sosialnya, politiknya, ekonominya, maka ia diperbolehkan berbuat demikian, sebagai motivasi agar mereka terdorong turut serta memperbaiki keadaan, seperti ungkapan : Wahai umat Islam, bagaimanalah nasib anak cucu kita dibelakang hari jika hiburan bebas dan konsert liar dibiarkan berleluasa, perkara syirik dan bid’ah tersibar luas, fitnah memfitnah menjadi-jadi, vidio seks dan nlucah ditayangkan secara meluas, rasywah meraja lela, …… kalau ini tidak dibendung segera maka akan hancurlah Negara kita …… Keluhan seumpama ini diperbolehkan, malahan dianjurkan agar mendorong masyarakat bangun menentang kemungkaran.

3.       Akhir-akhir ini muncul satu trend atau aliran dalam masyarakat kita di Nusantara yang gemar menuduh pihak tertentu sebagai sesat tanpa terlebih dahulu diperhalusi sumbernya. Apabila ada saja perbezaan pendapat antara satu dengan lain, maka dengan mudah pihak yang tidak setuju menuduh pihak lawan sebagai sesat, sambil melebel dengan pelbagai gelaran. Padahal kadang-kadang perkara yang diperselisihkan itu hanya berkisar kepada masalah khilafiyah yang kita dibenarkan oleh Islam berbeza pendapat kerana masing-masing memiliki hujah dan dalilnya masing-masing. Para sahabat radhiyallahu ‘Anhom ajma’in juga berbeza pendapat dalam beberapa perkara, namun mereka saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain dan tidak saling cela-mencela. Ingat firman Allah :  Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal (gentar) dan hilang kekuatanmu. ( Al-Anfal : 46 )  

4.       Marilah kita sama-sama menjadi muslim muslimat yang berlapang dada, saling hormat menghormati. Ingat ! bagi kita umat Islam, bahawa kebenaran ialah segala yang datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Tidak wajar seorang muslim meletakkan pendapatnya atau pendapat syeikhnya lebih tinggi dari Kalam Allah dan Kalam Rasul-Nya. Adapun jika ada perbezaan tafsiran, kita seharusnya saling menghormati. Jika adapun sedikit keritikan dari pihak lawan, kita tidak sepatutnya melenting tanpa pertimbangan ilmiyah, sebab kita hanya manusia biasa dan kita tidak maksum sebagaimana Rasulullah SAW. Ingat kata-kata Imam Malik ketika beliau berada disamping kuburan Nabi SAW :Pendapat manusia kita boleh ambil dan juga boleh tolak, kecuali perkataan manusia yang ada dalam kuburan ini (sambil beliau menunjuk kuburan baginda SAW). Mari kita sama-sama menjual dan memasarkan product kita kepada jamaah masing-masing sesuai dengan keyakinan kita. Dan kita tidak perlu iri hati atau dengki jika ternyata product lawan lebih laku dan diterima oleh masyarakat kerana kekuatan hujahnya sebab umat Islam hari ini bukan seperti dulu yang hanya bertaklid buta, malahan terdapat hari ini para jamaah yang membaca buku lebih banyak dari sesetengah pendakwah.

5.       Kembali kepada topik pembahasan di atas : Jangan sekali-kali mencela muslim lain hanya kerana berbeza pendapat dalam hal-hal tertentu yang kita diperbolehkan berbeza pendapat. Ingat ! Musuh utama kita bersama yakni syaitan sangat gembira jika kita terus bercakaran. Malahan dari sisi yang lain, sikap suka menyalahkan atau menyesatkan pihak lain hanya akan merugikan diri sendiri. Rasulullah SAW menyatakan dengan nyata dalam hadis di atas bahawa orang tersebut hanya berada di antara dua kemungkinan, iaitu : 1. Dialah sebenarnya yang menjadi penyebab sehingga orang yang dituduhnya itu akhirnya terjerumus dalam kesesatan, atau : 2. Dialah sebenarnya orang yang paling sesat atau orang yang paling rosak. Na’uudzu Billah Min Dzaalik.  

SUMBER : FB  Abdullah Yasin    

No comments:

Post a Comment