Friday, April 8, 2011

SHARING IS LOVING - MADAH AGAMA

Dihari ini kalau muda mudi melahirkan gejala masyarakat semua orang tidak senang tetapi orang dewasa membuat gejala masyarakat tidak pula dipandang serong kerana gejala masyarakat yang dibuat oleh orang dewasa tidak sama apa yang dibuat oleh remaja.
Dihari ini kalau perempuan itu pemalu dan bersopan dianggap ketinggalan zaman.


Dua orang atau lebih yang membuat satu dosa yang sama nilainya, setiap orang itu rasa berdosa tidak sama, mesti ada lebih, ada kurangnya mengikut ketaqwaan masing-masing, atau mengikutlah tingkatan iman masing-masing.


Dunia Akhirat Tuhan yang punya, malulah kepadaNya dan beradaplah kepadaNya.
Dunia dan segala nikmatnya macamlah anak gadis yang cantik, jarang manusia tidak digodanya, siapa yang punya dunia, tapi dunia tidak menodainya, dia adalah manusia luar biasa.
Dunia setiap hari berlakunya Kiamat, kebanyakan umat Islam tidak sedar, walaupun mereka percaya tentang Kiamat. Justeru ini terjadi secara sedikit-sedikit, dia tidak berlaku secara total dan global. Buktinya setiap hari tanah runtuh, rumah roboh, gunung jatuh, air bah, pokok tumbang, air laut melimpah ruah, kapal karam, kereta masuk gaung, orang mati, pelanggaran, gunung meledak.
Fitrah yang murni ia tidak membohongi kita. Ia selalu sahaja boleh menerima kebenaran tetapi yang menghalangnya adalah nafsu dan syaitan.
Gabungkanlah di antara pandangan mata, pandangan akal dan pandangan hati, kita akan berbeza dari manusia biasa kerana kita akan berwibawa.
Gejala-gejala masyarakat itu ialah bala dari Tuhan. Ada perkara yang tersembunyi mengapa Tuhan lakukan. Banyak manusia tidak tahu perkara yang batiniah ini. Di antara dasar pelajaran dan pendidikan yang tidak tulen berdasarkan syariat, banyak bersifat ‘aqli, mereka yang terlibat dengan pelajaran dan pendidikan nawaitu bukan kerana Allah, mungkin kerana gaji, nama, kedudukan.
Gejala-gejala negatif yang diimport dari Barat bukan sahaja budaya lepak, punk, disko, pergaulan bebas, homoseksual, lesbian, arak, judi tapi lebih dari itu, iaitu ego, mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi, materialisma, sekularisma.
Gerak-geri dan sikap lahir manusia ialah bayangan hati mereka atau buah yang dihasilkan oleh hati.
Disiplin harian umat Islam yang sebaik-baiknya di waktu malam sunyi dia memohon, munajat mengadu kepada Allah, bangun sebelum Subuh, waktu bangun memuji Allah serta niat sepanjang hari itu hendak membuat baik, sembahyang lima waktu berjemaah, kalau boleh sembahyang Dhuha, tidur sebelum Zuhur qailullah namanya, tidak tidur selepas Asar dan Subuh, selepas Isyak membaca sedikit atau rehat sedikit atau buat perbincangan dengan keluarga, selepas itu pergi ke tempat tidur, sebelum tidur bertaubat dan berzikir sebanyak-banyaknya hingga tertidur dengan taubat dan zikir. Begitulah dibuat sepanjang masa kecuali kalau ada hal-hal yang mendadak sama ada masalah peribadi mahupun masalah masyarakat. Ubahsuailah dengan suasana dengan tidak mengorbankan yang wajib. Beginilah disiplin harian umat Islam kalau kita ingin memperkatakan disiplin.
Gunung yang tinggi tidak bleh menakung air, tapi lembah yang rendah bleh menakung air. Ia memberi erti orang yang meninggi diri tidak boleh mengambil hati orang. Sebaliknya orang merendah diri dapat memikat hati orang.
Guru banyak, ahli pidato berselerak, tapi mursyid amat sedikit sekali.
Halangan di dalam perjuangan menegakkan kebenaran mula-mula sekali ialah nafsu dan syaitan, kemudian takut, selepas itu diuji dengan kelaparan, dikuti dengan ujian kekurangan harta, kemudian diuji dengan sedikit pengikut. Kalau Allah memberi kejayaan di dunia diuji pula dengan nikmat yang melimpah ruah, Sayidina Umar menangis dengan yang akhir ini. Kerana banyak umat Islam yang kecundang.
Hari ini tidak malu sudah menjadi budaya. Siapa malu dianggap kolot. Mencari kekayaan tidak kira halal haram. Siapa menjaga syariat dianggap ketinggalan zaman. Hari ini makan gaji dianggap mulia. Siapa kerja sendiri dianggap hina. Setidak-tidaknya dianggap tidak ada status walaupun pendapatannya lebih lumayan daripada makan gaji. Seseorang itu kalau ada kelulusan tinggi tidak mahu makan gaji dianggap bodoh atau rugi padahal manusia yang kaya di dunia ini bukan orang makan gaji, tapi kerja sendiri.
Harta benda dan kekayaan di dunia ini walau sebanyak mana sekalipun yang kita gunakan sedikit sangat iaitu sekadar yang dimakan, sebanyak yang dipakai dan setakat yang digunakan, selain itu semuanya milik orang lain walaupun nama kita, tidak seperti kekayaan di Akhirat berdasarkan amal soleh kita di dunia, semuanya yang kita miliki, semuanyalah kita boleh gunakan.
Harta dicuri boleh diganti, ilmu dicuri tidak payah diganti, tapi kalau hati dicuri, menderita sampai mati.
Hati nurani atau roh, ia menjadi pandangan Tuhan. Apakah seseorang itu taat atau derhaka. Ia merupakan penentu, apakah seseorang itu ke syurga atau ke neraka. Ia dianggap raja di dalam diri manusia. Baik raja diri maka baiklah seluruh anggota. Kalau ia bersih daripada segala godaan mazmumah, mendapat kemenanganlah manusia!
Hendaklah kamu selalu ingatkan hati dan diri, apalah untungnya menurutkan hati dan nafsu yang merosakkan.
Hendaklah kita membuang sungguh-sungguh sifat tamak kerana dengan sifat itulah kita cinta dengan dunia. Apabila kita cinta dengan dunia, kita tidak rasa cukup dengan apa yang ada, sifat tamak dan sifat bakhil datang, akhirnya ia menjadi rebutan. Di sinilah rahsia hilangnya ukhuwah dan sebab timbulnya perpecahan. Hendaklah kita buang sungguh-sungguh.
Hiburan itu tidak mesti membahagiakan, tapi kebahagian itu sudah pasti menghiburkan.
Hidup di dunia bermacam-macam dan berbagai-bagai pertarungan terjadi, tidak putus-putus. Pertarungan politik, pertarungan ekonomi, pertarungan mazhab, pertarungan perkauman, pertarungan fikiran dan pendapat, pertarungan pengaruh, pertarungan kepimpinan, pertarungan antarabangsa. Macamlah ombak laut yang tidak pernah berhenti daripada gelombang dan gelora. Manusia pimpinan Tuhan sahaja yang selamat daripada gelombang dan gelora pertarungan dan pertembungan.
Hidup di dunia ini macam mimpi aja, kerana terlalu singkatnya dibandingkan hidup di Akhirat yang kekal abadi. Masanya tiada bertepi. Gambarkan kalau di Syurga alangkah indahnya, jika di Neraka alangkah parahnya.
Hormatilah orang tua, kasihanilah kanak-kanak, bersimpatilah kepada binatang, banyakkanlah memberi maaf kepada isteri, bertolak ansurlah pada perkara-perkara yang dibenarkan. Merendah dirilah dalam pergaulan, kerana ini semua diantara sifat-sifat orang mukmin.
Hukuman Allah itu ada pengajaran dan memberi kesan. Hukuman manusia membeban dan tidak ada kesan. Bahkan secara umumnya, orang yang kena hukum itu membalas dendam berpanjangan.


Sumber : http://www.usahataqwa.com/

1 comment: