MENANAM BENIH TAQWA ( تقوى )
TAQWA (تقوى ) itu ada benihnya. Untuk ia memberi manfaat dan kebaikan, BENIH تقوى itu mesti ditanam hingga ia tumbuh menjadi pokok yang ada batangnya, dahan, ranting, daun, bunga dan akhir sekali buahnya. Buah تقوى itulah hasil yang boleh dinikmati di dunia dan di Akhirat. Kalau BENIH تقوى itu disimpan dan tidak ditanam maka ia tidak akan tumbuh. Maka tidak akan ada hasil atau buahnya untuk dinikmati. BENIH akan hanya tinggal BENIH. BENIH tidak akan berguna kepada sesiapa kalau ia tidak ditanam dan tidak tumbuh hingga mengeluarkan buah.
Begitu juga kalau BENIH itu ditanam di tempat yang salah seperti di tanah yang tidak subur, di tanah berlumpur, di tanah berpasir atau berbatu. Pokoknya tidak akan tumbuh. Kalau tumbuh pun, ia tidak akan subur dan tidak akan menghasilkan buah.
RUKUN IMAN, RUKUN ISLAM DAN IHSAN ADALAH BENIH تقوى. Bagaimanakah dapat kita tanam BENIH تقوى ini hingga tumbuh batangnya, dahan, ranting, daun, bunga dan buahnya. Kalau kita tidak pandai menanam BENIH تقوى ini, bagaimanakah kita hendak dapat pokok dan buahnya?
Setelah kita faham rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan, termasuk rukun-rukun tambahan atau rukun dalam rukun di dalam rukun-rukun itu, macam mana hendak kita buat supaya ianya mendatangkan hasil.
Supaya Islam kita itu rendang dan lebat buahnya. Dilihat indah dan orang gemar dan rindu padanya. Kalau Islam benar-benar ditegakkan atas dasar تقوى, ia akan kelihatan cantik dan indah.
Orang2 kafir, dan manusia lainnya yang sedang mencari kebenaran, pun akan suka dan rindu dan tidak tertahan-tahan untuk memeluk Islam. Mereka tidak akan menghina Islam kerana fitrah manusia itu tidak akan menghina sesuatu yang murni dan indah kecualilah orang kafir yang hasad dengki dan berfikir kalau dia masuk Islam, dia akan rugi.
Untuk mempastikan BENIH تقوى itu ditanam sampai tumbuh dan melahirkan pokok dan buah, itulah kerja kita setiap hari.
CONTOH AMALAN SEHARIAN UNTUK MENANAM BENIH تقوى
✩ ⓐⓣ-ⓣⓐⓠⓦⓐ ✩ Dari bangun tidur hingga kita kembali tidur. Dalam kerja dan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita sebagai pengarah, pegawai, pengurus, kerani, petugas, guru dan sebagainya di berbagai bahagian dan jabatan. Kalau kita bertanggungjawab, tidak curi tulang, tidak buang masa, kerja kita bersungguh-sungguh, ada kasih sayang, tetamu dan pelanggan dilayan dengan baik, berkerja pula di atas syariat ALLAH kerana takut dan CINTA ALLAH, maka itu menanam BENIH taqwalah namanya. Ia akan melahirkan batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah تقوى.
Itu baru tugas kita yang rasmi. Apatah lagi dalam apa yang kita buat di dalam hidup kita seharian yang berbentuk tidak rasmi. Di sini lagi banyak BENIH تقوى yang dapat kita tanam. Contohnya, kalau nampak sampah di premis, kita buang. Kita nampak duri, paku, serpihan kaca atau najis diperjalanan, kita buang. Kita mentadbir dan mendidik keluarga. Kita berjiran. Kita berkawan. Itu semua adalah menanam BENIH تقوى.
✩ ⓐⓣ-ⓣⓐⓠⓦⓐ ✩ Bila kita keluar berkereta setiap hari lepas subuh dan tiba di persimpangan jalan, hati kita berkata, “Di sini aku hendak dapat تقوى. Aku akan beri laluan kepada orang.”
Itulah تقوى. Tetapi jika kita berkata, “Ikut undang-undang, ini aku punya laluan. Buat apa aku beri laluan pada orang lain.”
Betullah itu kalau mengikut undang-undang. Tetapi kita tidak akan dapat تقوى sebab kita tidak mahu korbankan hak kita untuk orang lain.
✩ ⓐⓣ-ⓣⓐⓠⓦⓐ ✩ Umat Islam bukan sahaja dilarang bermusuh tetapi diminta berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepadanya. Itulah batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buah di atas BENIH تقوى.
Bila bertemu orang yang kita tidak kenal, tersilap cara kita bercakap dengannya, kita minta maaf dan kita merendah diri kepadanya. Itulah تقوى. Bukan susah sangat hendak cari تقوى. Apabila orang pula bersalah dengan kita dan dia tidak meminta maaf, kita berkata pada ALLAH, “Saya hendakkan تقوى, maka saya maafkan orang itu.” Insya-Allah kita akan mendapat تقوى walaupun orang itu tidak meminta maaf. Ini yang digalakkan.
Kita berjiran. Bila ada makanan lebih, kita beri kepada jiran. Kalau dia bersalah, kita maafkan dia. Kita jaga keperluannya.
Dengan jiran pun sangat banyak sifat تقوى yang boleh kita miliki. Kalau kita terbuat salah, sama ada sedar atau tidak, kemudian ada kawan menasihati kita, maka kita berterima kasih kepadanya dan pada ALLAH. Itulah تقوى. Jangan pula kita marah, herdik atau menghina dia kerana menasihati kita. Itu sombong namanya. Bagaimana kita boleh jadi sombong walhal menerima nasihat itu adalah تقوى.
✩ ⓐⓣ-ⓣⓐⓠⓦⓐ ✩ Kita ke pasar membeli ikan. Kebetulan kita ada duit lebih. Apa salahnya kita belikan orang sebelah kita dua, tiga ekor ikan demi untuk mendapat تقوى. Peluang di depan mata kita tidak ambil. Kita hendak cari تقوى di surau dan di masjid sahaja. BENIH تقوى boleh tumbuh di mana-mana bukan sahaja di surau dan di masjid.
✩ ⓐⓣ-ⓣⓐⓠⓦⓐ ✩ BENIH تقوى boleh tumbuh dalam kehidupan seharian, di pasar, di gerai, di kedai, di jalanan, di pejabat, di sekolah, waktu bertemu dengan kawan, dengan jiran, dengan madu malahan di mana dan dengan sesiapa sahaja.
Dalam kita menegakkan hablumminallah, iaitu solat, puasa, baca Quran, wirid dan zikir, kita boleh dapat تقوى.
Dalam kita menegakkan hablumminannas seperti berniaga, bermasyarakat, berjiran dan bekerja, kita pun boleh dapat تقوى. Malahan peluang untuk mendapat تقوى di bidang hablum-minan-nas lebih luas dan lebih banyak dan ia berlaku sepanjang masa. Dari sekecil-kecil amalan hinggalah kepada yang sebesarbesarnya.
Yang penting kita berbuat sebanyak mungkin amalan makruf dengan kesedaran bahawa Allah melihat dan memerhati kita dan keredhaan-Nyalah yang kita harapkan. Besar atau kecil amalan tidak menjadi persoalan. Keikhlasan dan penghayatan itulah yang menjadi pokok.
KESILAPAN UMAT ISLAM KINI
Kenyataan yang berlaku pada umat Islam hari ini, dari hidup sampai mati, ke mana pun dia pergi, dia hanya membawa BENIH تقوى sahaja. BENIH itu tidak pun ditanam. Dia hanya membawa rukun Iman, rukun Islam dan Ihsan. Tetapi itu semua tidak pernah diamalkannya betul-betul atas dorongan CINTA dan TAKUTKAN ALLAH.
Setiap hari ada peluang untuk melakukannya. Peluang yang ALLAH bagi untuk beramal selalu diabaikan dan disia-siakan. Adakah ini boleh menjamin keselamatan di Akhirat? Adakah kita rasa bila berjumpa ALLAH nanti kita akan selamat? Sedangkan yang kita bawa hanya BENIH yang belum ditanam dan belum menghasilkan buah. Apakah ALLAH akan terima?
Di sinilah orang yang beribadah tertipu dan orang yang belajar pun tertipu. Dari hidup sampai mati, ke mana mereka pergi, mereka membawa BENIH sahaja. Sebab itu keindahan Islam tidak nampak dalam kehidupan kerana tidak ada pokoknya, tidak ada batang, dahan, ranting, daun, bunga dan buahnya. Yang ada hanya benihnya sahaja yang belum pun ditanam.
Kalaupun ada yang menanam BENIH تقوى ini, ditanam pula ditempat yang salah. Maka BENIH itu tidak tumbuh. Kalau tumbuh pun, ia terbantut dan lama-lama mati. Tidak tumbuh juga pokok تقوى.
Itulah silapnya. Kita sudah diajar bahawa agama itu di surau dan di masjid sahaja. Kita sudah diajar hendak dapat تقوى di surau dan di masjid sahaja. Kita telah diajar bahawa تقوى itu hanya solat, puasa, zakat, haji, baca Quran, wirid, zikir, doa dan iktikaf di masjid sahaja. Ini adalah salah. Ini ajaran dan fahaman yang sempit. Ini sudah memisahkan agama dari kehidupan. Walhal bukankah agama itu Addeen atau cara hidup (way of life). Cara hidup tidak terhenti setakat di surau dan di masjid sahaja.
تقوى itu boleh didapati di mana-mana. تقوى itu boleh didapati di dalam kehidupan. تقوى itu ibarat intan berlian yang ALLAH taburkan dan campakkan ke dalam kehidupan. تقوى itu merata-rata. Terpulanglah kepada kita untuk mencari dan mengutipnya. Hanya sama ada kita mahu atau tidak mahu sahaja. Kenapa kita hanya mahu mengutip intan berlian itu di surau dan di masjid sahaja? Bukankah surau dan masjid itu tempat yang kecil dan terhad? Padahal banyak lagi intan berlian yang bertaburan di dalam kehidupan di luar surau dan masjid. Ini kita tidak kutip. Bukankah ini membazir dan merugikan namanya?
Pemimpin dan ulama menyarankan supaya umat Islam jadi kuat. Kita kena faham, kuatnya umat Islam itu mesti dengan تقوى. Umat Islam tidak boleh jadi kuat dengan quwwah (kekuatan lahir) semata-mata sama ada kekuatan yang berbentuk ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain. Taqwalah sumber kekuatan umat Islam yang sebenarnya. Umat Islam akan kuat apabila mereka kuat dengan ALLAH. Macam mana umat Islam hendak jadi kuat sedangkan kebanyakkan ("kebanyakkan": suntingan oleh BiHi) pemimpin, ulama dan kebanyakkan ("seluruh" digantikan dengan "kebanyakkan": suntingan oleh BiHi) umat Islam dari atas hingga ke bawah tidak faham apa erti تقوى, tidak faham apa itu hakikat تقوى, tidak tahu kelebihan dan peranan تقوى dan tidak tahu bagaimana hendak mencapai dan mendapat تقوى.
Sumber : http://www.usahataqwa.com/hidup-taqwa/me
No comments:
Post a Comment